
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar Pandak Ahmad berkata, lima keluarga pulang ke kediaman mereka semalam, manakala bakinya hari ini.
Kesemua Orang Asli itu lari ke hutan setelah mendapat tahu guru agama di kampung mereka disyaki positif virus berkenaan.
Beliau berkata, satu perbincangan diadakan malam tadi bersama penduduk kampung, Tok Batin Noore Kasi, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan guru agama itu yang disahkan negatif Covid-19.
Surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyatakan guru agama itu negatif Covid-19 turut dibawa sebagai bukti semasa perbincangan itu, katanya.
“Dalam perbincangan malam tadi pada dasarnya mereka setuju untuk pulang semula dan mengakui bahawa ia hanya berita palsu.
“Mereka juga meminta maaf kepada guru agama berkenaan…begitu juga guru agama itu yang turut minta maaf kepada mereka,” katanya ketika dihubungi.
Jumaat lepas, Pandak berkata, pihaknya terus memujuk kumpulan itu supaya kembali ke kediaman mereka hutan terbabit yang didiami kira-kira 40 orang, termasuk kanak-kanak dan bayi, didapati tidak selamat kerana terdapat haiwan liar seperti ular.
Faktor cuaca juga menyebabkan khemah sementara dan bangsal yang mereka dirikan didapati tidak sesuai dan selamat untuk diduduki.