Hasil siasatan kematian Adib diketahui tidak lama lagi, kata menteri

Hasil siasatan kematian Adib diketahui tidak lama lagi, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, siasatan polis kini di peringkat akhir dan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Hasil siasatan berhubung penyebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan dimaklumkan tidak lama lagi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kedudukan sama ada (wujud) penyebab-penyebab sehingga berlaku kematian Adib, tidak lama lagi akan kita maklumkan kepada semua,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu.

Beliau menjawab isu yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Bukit Jelutong) yang bertanyakan tempoh selesai siasatan kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sebelum ini, polis mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Muhammad Adib kerana terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.