
Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa berkata, pendekatan baharu itu, melalui program bersasar, akan mengikut keadaan setempat, tanpa mengira kaum.
“Ini kerana isu kemiskinan adalah berbeza mengikut demografik dan keadaan semasa. Sebagai contoh kemiskinan di Perlis dan Sabah.
“Justeru, cara untuk menangani perlu bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Mustapa berkata, prestasi SDG negara pada 2019 bertambah baik berdasarkan 17 matlamat ditetapkan, walaupun terjejas tahun ini akibat pandemik Covid-19.
Antara perkara yang menunjukkan kemajuan pencapaian positif adalah kemajuan masyarakat, dengan peratusan isi rumah yang hidup bawah paras kemiskinan meningkat dari 7.6% pada 2016 kepada 5.6% pada 2019.
“Selari dengan perkembangan ekonomi digital, terutama dengan norma baharu dibawa Covid-19, peratusan individu yang menggunakan internet meningkat kepada 84.2% pada 2019 berbanding 81.2% pada tahun sebelumnya.
“Begitu juga penggunaan internet di bandar dan luar bandar masing-masing turut
meningkat 2.6 mata peratusan dan 3.3 mata peratusan,” katanya.
Katanya, Malaysia komited untuk mencapai matlamat SDG dengan semua elemen diserapkan dalam dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, sambil menambah ia akan diteruskan dalam RMKe-12.