
Dua doktor daripada Persekutuan Persatuan Perubatan Malaysia (FPMPAM) berkata tidak masuk akal tindakan kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri tetapi, pada masa sama, membenarkan perjalanan merentas negeri dan daerah.
Dr Lim Kuan Joo dan Dr Steven Chow, khususnya bimbang penularan Covid-19 dari Sabah lebih-lebih lagi apabila pelawat atau penduduk dari negeri itu tidak lagi diwajibkan menjalani kuarantin setibanya di Semenanjung.
Sabah terus mencatatkan jumlah kes Covid-19 harian yang tinggi, dengan 271 kes baharu dilaporkan semalam.
Selangor juga mencatat jumlah kes tinggi, tetapi Lim dan Chow bersetuju keadaan di negeri itu tidak menimbulkan kebimbangan kerana kebanyakan jangkitan melibatkan pekerja asing.
Lagi pun, mereka jarang sekali merentas ke negeri lain.
Namun, kedua-dua pakar perubatan itu berpendapat Kementerian Kesihatan sepatutnya memberi tumpuan kepada membendung penularan Covid-19 di asrama pekerja yang kebanyakkannya sesak dan tempat kerja mereka.
Pengerusi Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, berkata orang ramai akan “kurang keliru” sekiranya kerajaan lebih sistematik dan telus dalam mengeluarkan arahan SOP.
“Daripada secara rawak mengumumkan sekatan atau melonggarkan peraturan, kerajaan patut menambah fokus kepada mendidik masyarakat dan berkongsi rasionalnya dalam meminda peraturan serta SOP,” kata beliau.
“Orang awam tidak patut dibiarkan meneka hasrat kerajaan melakukan pindaan kepada SOP,” katanya
Mengulas keputusan kerajaan membenarkan semula perjalanan antara negeri minggu lalu, beliau berkata kerajaan patut belajar daripada pengalaman lalu.
“Kita sudah lihat bagaimana pilihan raya Sabah membawa kepada gelombang ketiga Covid-19 yang begitu besar. Mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulangi kesilapan lalu. Jangan ambil risiko yang tidak perlu. ”
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penamatan PKPB untuk semua negeri kecuali Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah. PKPB di tiga negeri dilanjutkan hingga 20 Disember.
Sekatan perjalanan juga dilonggarkan, dengan orang ramai dibenarkan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis. Jumlah orang yang dibenarkan dalam kenderaan juga dilonggarkan dan bergantung kepada kapasiti kenderaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, risiko dijangkiti Covid-19 tetap nyata dan rakyat tidak boleh mengambil mudah ancaman virus pembunuh itu.
Beliau berkata penting bagi orang ramai untuk mengikuti SOP dan pihak berkuasa menguatkuasakannya dengan ketat.
“Industri penerbangan, sistem pengangkutan dan pusat pelancongan amat terkesan,” katanya. ” Justeru, membuka sempadan negeri dan daerah dalam tempoh ini adalah adil dari segi keperluan ekonomi.
“Tetapi harus diingati bahawa hanya seorang sahaja yang perlu dijangkiti Covid-19 untuk ia tersebar dan menjadi wabak di kawasan berkenaan, katanya.