
Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata ia juga menunjukkan bahawa situasi yang berlaku hanya bertujuan menukar menteri besar sahaja, bukan gabungan kerajaannya.
“Kenyataan Umno itu mungkin melegakan banyak pihak, ia menandakan bahawa masih terdapat kompromi antara PPBM, PAS dan Umno untuk mengekalkan status quo sedia ada,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam tadi.
Semalam, Umno melalui Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan berkata kerajaan PN di Perak mesti dikekalkan dan semua exco juga mesti diteruskan.
“Umno juga berpendirian bahawa PPBM dan PAS harus mendukung kerajaan PN di negeri Perak,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Mazlan juga berpandangan situasi yang berlaku di Perak merupakan simulasi politik yang tidak terjangka dan percaya pihak yang terlibat akan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memastikan nasib rakyat diutamakan.
“Mungkin pihak yang berada di Perak boleh bertenang dan saya percaya ahli politik sedang berunding, mereka ada fikiran sendiri, yang penting kebajikan rakyat Perak perlu diambil kira dalam situasi negara berdepan pandemik Covid-19 dan ketidakseimbangan ekonomi, ahli politik perlu membuat keputusan terbaik,” katanya.
Krisis pembentukan kerajaan negeri Perak tercetus selepas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap menteri besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat lalu.
Dalam undian terhadap usul yang dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) itu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala 1 berkecuali.
Ahmad Faizal semalam meletak jawatan sebagai menteri besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula berkata penjajaran politik luar biasa mungkin berlaku di Perak jika kompromi antara PPBM, PAS dan Umno gagal dicapai.
Beliau berkata gabungan antara Umno dengan pembangkang iaitu Amanah dan PKR mungkin berlaku memandangkan tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri kerana tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk berbuat demikian.
“Tiada mana-mana parti yang memperoleh 30 kerusi (majoriti mudah) sekarang ini, maka terpaksa membuat gabungan dan pelantikan menteri besar yang ke-14 perlu ada gabungan untuk membentuk kerajaan negeri.
“Yang saya boleh jangkakan di sini kemungkinan yang pertama status quo iaitu perubahan menteri besar sahaja yang besar kemungkinan datang daripada Umno itu sendiri kerana mempunyai 25 kerusi, status quo kekal iaitu 34 mewakili kerajaan (BN 25 kerusi, PPBM 5 kerusi, PAS 3 dan Gerakan 1) ataupun berlaku penjajaran politik yang luar biasa melibatkan pembangkang dan kerajaan.
“Saya ambil satu contoh, BN ada 25 kerusi (jika) bergabung dengan PKR dan Amanah mereka mempunyai sekitar 33 kerusi, dan jika kompromi antara PPBM, Umno dan PAS itu tidak dapat dicapai mungkin situasi di luar jangka itu boleh berlaku,” katanya.
Beliau berkata ini sekali gus menarik perhatian banyak pihak yang menantikan sama ada penjajaran politik dan gabungan kerajaan negeri yang berbeza dengan negeri lain akan berlaku di Perak.