Hanya segelintir pegawai, anggota polis bermasalah, terlibat jenayah, kata KPN

Hanya segelintir pegawai, anggota polis bermasalah, terlibat jenayah, kata KPN

Razarudin Husain berkata harus beri kepercayaan kepada polis menjalankan siasatan telus melibatkan pegawai dan anggotanya.

Razarudin Husain berkata polis mempunyai kaedah sendiri mengendalikan pegawai serta anggotanya, termasuk menangkap mereka yang terlibat jenayah.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata hanya segelintir pegawai dan anggotanya bermasalah serta terbabit aktiviti jenayah.

Justeru, katanya masyarakat tidak perlu bimbang, sebaliknya perlu terus memberi kepercayaan kepada pasukan keselamatan itu untuk menjalankan siasatan telus berkaitan kes jenayah melibatkan pegawai dan anggotanya.

Menurut Razarudin setiap anggota polis sentiasa diselia penyelia masing-masing dan polis mempunyai kaedah sendiri untuk mengendalikan pegawai serta anggotanya, termasuk menangkap mereka yang terlibat jenayah.

“Dalam 137,000 keanggotaan polis, tidak sampai 2% pun polis melakukan kesalahan tatatertib atau terlibat jenayah kerana mereka ini diselia pegawai atasan.

“Sebagai contoh, 15 minit sebelum bertugas, mereka (anggota polis) akan diberikan taklimat ‘roll call’ oleh penyelia, begitu juga dengan penggunaan pistol.

“Taklimat ‘roll-call’ dalam kalangan anggota polis bertujuan mengelakkan perbuatan menyeleweng daripada tugas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Razarudin mengulas penahanan dua anggota polis berpangkat konstabel dan lans koperal disyaki terbabit kes samun serta rogol seorang penuntut kolej swasta di Bukit Ampang View, di sini, Selasa lalu.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata dua anggota peronda itu ditahan kerja hingga siasatan selesai.

Razarudin berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis daerah di seluruh negara untuk menyelia pegawai dan anggota masing-masing.

“Takkanlah disebabkan dua anggota polis bermasalah ini (menyamun dan merogol penuntut), saya perlu menukar modul pengajaran polis?”

Razarudin berkata dalam perkhidmatan polis, banyak prosedur dan pelbagai arahan mesti dipatuhi setiap pegawai dan anggota, antaranya perlu mengangkat sumpah tidak terbabit dadah dan aktiviti jenayah lain.

“Walaupun mereka telah mengangkat sumpah dan diselia, sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.”

Bagaimanapun, katanya polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggotanya yang terbabit jenayah.

Beliau berkata sebarang perlakuan jenayah melibatkan pegawai dan anggota polis akan disiasat secara telus serta berharap masyarakat memberi kepercayaan penuh kepada polis.

“Sebagai contoh, anggota polis yang dituduh melanggar seorang pelajar sekolah menengah sehingga maut, kita tidak berselindung dan dakwa dia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh, jadi memang tiada kompromi.”

Disember lalu, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP ditahan membantu siasatan kemalangan maut melibatkan pelajar Tingkatan Lima dekat sebuah sekolah menengah di Meru, Ipoh.

Mengenai empat anggota polis ditahan baru-baru ini kerana disyaki terlibat memproses ketum dipercayai untuk kegunaan sendiri, Razarudin berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu, termasuk menjalankan ujian saringan air kencing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.