KPM larang sekolah guna replika senjata pada Minggu Solidariti Palestin

KPM larang sekolah guna replika senjata pada Minggu Solidariti Palestin

Kementerian Pendidikan berkata, ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme sepanjang penganjuran program itu.

Kementerian Pendidikan berkata, program sekolah terbabit yang tular dalam media sosial, diadakan di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan ditetapkannya.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) melarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi pada Minggu Solidariti Palestin anjuran sekolah.

Kenyataan ini menyusul satu laporan pelajar dan guru membawa senjata mainan ke sekolah yang didakwa berkaitan minggu solidariti itu.

KPM berkata, penganjuran program di sekolah terbabit di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan ditetapkannya.

Katanya, ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme sepanjang penganjuran program itu.

“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti mendokong isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin sepanjang pelaksanaan program ini.

“Semua institusi bawah KPM diminta sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

KPM berkata, ia menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya dari 29 Okt hingga 3 Nov ini.

Katanya, Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik murid nilai manusiawi merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.