Kenapa perkahwinan kini dilihat sebagai pilihan, bukan kemestian

Kenapa perkahwinan kini dilihat sebagai pilihan, bukan kemestian

Kumpulan sokongan hubungan keluarga berkata orang ramai kini lebih berdikari dan mampu diri.

Statistik rasmi menunjukkan terdapat kurang 2,500 perkahwinan pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.
PETALING JAYA:
Orang ramai kini lebih berdikari dan mampu diri menyebabkan perkahwinan dianggap sebagai suatu pilihan, bukan lagi kemestian, kata kumpulan sokongan hubungan keluarga.

Lee Wee Min, pengerusi Fokus Keluarga Malaysia berkata, kestabilan ekonomi menjurus kepada sebuah masyarakat yang lebih individualistik dengan perkahwinan bukan lagi suatu keperluan tetapi pilihan.

“Banyak perkahwinan bertahan kerana pasangan saling bergantung antara satu sama lain. Namun, apabila masyarakat mula menjadi lebih kaya, saling pergantungan itu berkurang menyebabkan mereka lebih mudah meninggalkan pasangan jika tidak lagi sesuai antara satu sama lain.

“Inilah yang menyebabkan kadar perceraian meningkat,” katanya kepada FMT, dengan menambah bahawa institusi sosial perkahwinan menjadi semakin lemah kebelakangan ini.

Menurut statistik rasmi, terdapat 6,000 lebih banyak perceraian tahun lalu berbanding 2018, sementara angka perkahwinan menurun sebanyak 2,500.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata umur penengah bagi pengantin lelaki kekal 28 tahun, sementara pengantin perempuan meningkat daripada 26 kepada 27 tahun.

Katanya, kecenderungan untuk berkahwin lewat lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan berusaha mengukuhkan kestabilan ekonomi individu, terutama yang tinggal di kawasan bandar.

Lee berkata penurunan jumlah perkahwinan juga disebabkan oleh ketakutan dan kebimbangan tentang kemungkinan ia runtuh.

“Orang sedar kadar perceraian semakin meningkat dan ini membuatkan mereka keberatan untuk berkahwin.”

Katanya, menurut satu kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kurang persefahaman antara pasangan juga menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian.

Untuk mengatasinya, beliau mencadangkan agar kerajaan menekankan kepentingan kursus perkahwinan dalam kalangan anak muda, dengan fokus pada topik penting seperti keintiman seksual, kewangan keluarga, hubungan dengan mertua dan pengurusan perkahwinan.

Ahli psikologi dan terapi keluarga Dr Mat Saat Baki berkata, ada keperluan untuk merombak semula kursus perkahwinan.

“Kursus yang kerajaan sediakan (ketika ini) tidak berdasarkan kemahiran, yang merupakan sesuatu yang diperlukan oleh pasangan bagi mengurus perkahwinan mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, perceraian tidak boleh dipandang negatif.

“Kadang-kadang perceraian lebih baik daripada perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya, selain menambah bahawa seseorang tidak sepatutnya berasa terperangkap dalam perkahwinan yang gagal kerana banyak orang melihat perceraian sebagai larangan sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.