
Perkembangan ini juga bermakna Menteri Besar Hasni Mohammad dari Umno bertahan.
Jika belanjawan negeri itu tidak diluluskan, kedudukan Hasni akan tercabar kerana gagal mendapat sokongan majoriti Adun dan mengalami nasib seperti Ahmad Faizal Azumu, di mana kerajaan Perak pimpinannya tumbang selepas gagal mendapat sokongan majoriti Adun dalam usul undi percaya terhadapnya.
Semalam, Amanah menggesa Umno turut mengemukakan usul percaya terhadap Hasni di DUN Johor hari ini, yang merupakan hari terakhir ia bersidang, sebelum belanjawan negeri diluluskan.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, tindakan itu penting supaya rakyat dapat melihat adakah kerajaan Johor pimpinan Hasni turut memiliki keabsahan untuk mentadbir negeri berkenaan.
Daripada 56 kerusi di DUN Johor, Umno mempunyai 14 kerusi, MIC (2), PAS (1), PPBM (12), DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).
Pada 26 Nov lalu, Hasni membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertemakan “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran” yang berjumlah RM1.857 bilion.
Ia adalah belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta yang terdiri daripada unjuran hasil negeri sebanyak RM1,609.07 juta dan perbelanjaan berjumlah RM1,857.21 juta.