
Beliau berkata, dalam konteks pilihan raya, jumlah majoriti bukan ukuran utama kerana lebih penting adalah memastikan calon PN, Abdul Muhaimin Malek, melepasi garis kemenangan.
“Mereka (BN) ada sasaran, (dapat) 18,000 undi kan. ‘Target’ kita menang lah. Satu undi pun menang. Dalam pilihan raya ini tak penting berapa jumlah. Satu pun menang.
“Lepasi garis kemenangan pun dah cukup,” katanya selepas menyertai perlawanan persahabatan Kabaddi di Padang Awam Taman Permai, yang turut disertai calon PN.
Sanusi turut menyatakan rasa puas hati terhadap gerak kerja jentera PN sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, usaha tersebut diharap dapat membawa gelombang perubahan besar menembusi kawasan sebelum ini dianggap kubu kuat lawan.
“Sama ada gelombang yang kita bentuk ini mampu menenggelamkan ‘fixed deposit’ mereka atau tidak, saya harap dapat lah macam itu.
“Kita telah sedaya upaya, berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati semua kumpulan pengundi tanpa membangkitkan isu-isu sensitif antara kaum. Yang penting, pengundi buat pilihan berdasarkan ilmu dan maklumat yang benar,” katanya.
Selain Muhaimin, PRK Ayer Kuning esok turut menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional, Mohamad Yusri Bakir dan KS Bawani mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).