
Beliau menjangkakan BN yang mewakili kerajaan perpaduan akan memperoleh majoriti lebih besar apabila diambil kira jumlah keseluruhan kutipan undi calon BN (lebih 16,000 undi) dan Pakatan Harapan (lebih 11,000 undi) pada PRN November lepas.
“Apalagi dalam PRK, dengan segala jentera kerajaan pusat dan negeri yang sudah dikerah bekerja, dijangkakan BN dengan mudah menambah undi mereka seperti di PRK Nenggiri. Mungkin (peroleh) lebih 30,000 undi.
“Ini menjadikan Mahkota kubu terkuat BN, PH, (kerajaan) Madani di Johor,” kata Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno itu di Facebook.
Beliau membandingkan jumlah itu dengan jumlah undi diperoleh Perikatan Nasional (PN) pada PRN lepas.
“PN bermodalkan hanya 7,000 undi sahaja pada PRN lepas … Lebih 20,000 undi lebih rendah daripada undi diperolehi BN, PH,” katanya.
“Majoriti BN dalam PRK kali ini pastinya melebihi 20,000 undi dan ia manifestasi kejayaan jajaran baharu mereka bersama kerajaan perpaduan.”
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon mewakili gabungan itu pada PRK Mahkota 28 Sept ini.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN Mahkota, Sharifah Azizah Syed Zain, yang meninggal dunia pada usia 63 tahun pada 2 Ogos lepas.
Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 14 Sept, manakala pengundian awal pada 24 Sept.