Penarafan kredit Malaysia merosot bukti belanjawan gagal, kata Chin Tong

Penarafan kredit Malaysia merosot bukti belanjawan gagal, kata Chin Tong

Liew berkata, kos pinjaman negara akan meningkat, sekali gus menyebabkan pelaburan ekonomi tersekat.

Pemimpin DAP Liew Chin Tong berkata, rakyat Malaysia kini berdepan risiko terpaksa membayar harga belanjawan konservatif kerajaan.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Liew Chin Tong berkata, belanjawan tahunan kerajaan adalah punca kemerosotan penarafan negara semalam.

Dalam kenyataan, Liew berkata, belanjawan yang “lebih lemah daripada yang diharapkan itu” terlalu konservatif dari segi kewangan bagi menjamin pemulihan ekonomi lebih kukuh dan menghalang kemerosotan penarafan kredit Malaysia.

Berikutan penurunan penarafan itu katanya, kos pinjaman negara akan meningkat, sekali gus menyebabkan pelaburan ekonomi tersekat.

“Jelas sebelum ini bahawa pusingan belanjawan memerlukan pemikiran di luar kotak berdasarkan kos ekonomi pandemik Covid-19 yang tinggi.

“Belanjawan itu sepatutnya memberi tumpuan kepada langkah yang perlu diambil bagi memulihkan ekonomi semata-mata, bukan cuba mematuhi peraturan agensi penarafan yang tidak telus dan sewenang-wenang.

“Peluang itu telah terlepas dan kini rakyat Malaysia berdepan risiko terpaksa membayar harganya,” katanya.

Semalam agensi penarafan AS, Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia dari “A-“ ke “BBB+” dengan unjuran negatif ke stabil.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, kerajaan kecewa terhadap hasil penarafan itu, dengan menambah bahawa penurunan itu didorong oleh kesan wabak Covid-19 ke atas kedudukan kewangan negara dan keadaan politik domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.