Adakah Sanusi di bawah pengaruh dadah, Ramasamy balas kenyataan ‘mabuk todi’

Adakah Sanusi di bawah pengaruh dadah, Ramasamy balas kenyataan ‘mabuk todi’

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau mempertahankan hak masyarakat India terhadap orang seperti Muhammad Sanusi Md Nor yang mabuk dalam ekstremisme perkauman dan agama.

P Ramasamy berkata, analogi mabuk todi oleh Muhammad Sanusi Md Nor tidak wajar sebagai menteri besar.
PETALING JAYA:
Perang mulut antara Menteri besar Kedah, MIC dan DAP berhubung perobohan kuil berterusan dengan pemimpin terbabit menyerang satu sama lain.

Semalam, Muhammad Sanusi Md Nor daripada PAS mendakwa pengkritiknya bercakap di bawah pengaruh alkohol dan todi.

Hari ini, P Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang II, membalas dengan mempersoalkan jika Sanusi
di bawah pengaruh dadah ketika mengambil tindakan terhadap kuil itu.

Semalam, Sanusi berkata, walaupun MIC dan DAP pantas bertindak dalam isu perobohan kuil itu, bagaimanapun mereka berdiam diri mengenai perobohan struktur milik orang Melayu.

Dalam proses itu, beliau menyifatkan pemimpin itu “janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol”.

Beliau turut mendakwa mereka tidak melaporkan fakta sebenar di sebalik perobohan 2 kuil Hindu dalam masa beberapa bulan.

Ramasamy kemudiannya menyifatkan analogi minum todi Sanusi tidak wajar dan tidak dijangkakan daripada seorang menteri besar.

“Hakikat beliau boleh jatuh ke tahap ini menunjukkan kaliber, kualiti dan kecekapan kepimpinan Sanusi.

“Perbezaan politik dan ideologi diharapkan daripada pemimpin, tetapi bukan komen mengenai pemimpin pembangkang mabuk dan mencetuskan ketegangan etnik atau agama,” kata Ramasamy dalam kenyataan hari ini.

Beliau mempersoalkan jika Sanusi mengaitkan orang India dengan minum todi, adakah keterlaluan untuk beliau mengatakan Sanusi di bawah pengaruh ganja dan heroin dalam isu perobohan kuil Hindu.

“Adakah beliau sesuai memberi kepimpinan politik kepada negeri itu? Saya tidak perlu minum alkohol seperti todi untuk mempertahankan hak agama dam budaya India di negara ini.

“Saya mempertahankan hak masyarakat saya terhadap orang seperti Sanusi yang mabuk dalam ekstremisme perkauman dan agama.”

Beliau menasihatkan Sanusi tidak bermain api dengan memusnahkan kuil Hindu dan tempat ibadat dengan mendakwa ia dibina secara haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.