RM62 bilion pun ‘merapu’, Saifuddin mahu awasi penerokaan nadir bumi di hutan simpan Kedah

RM62 bilion pun ‘merapu’, Saifuddin mahu awasi penerokaan nadir bumi di hutan simpan Kedah

Saifuddin Nasution mengingatkan REE itu ditemui di kawasan hutan simpan, dan berkata lesen teroka "bukan lesen masuk dan tebang balak".

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Saifuddin Nasution.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Saifuddin Nasution, mempersoalkan dari mana Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohd Nor, peroleh angka RM62 bilion dalam anggaran unsur nadir bumi (REE) yang ditemui di negeri itu.

Berdasarkan maklumat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, pemimpin PKR itu berkata REE yang ditemui di Hutan Simpang Bukit Enggang, Sik di kawasan seluas 50,000 ekar dianggarkan sebanyak 250,000 tan dan bernilai USD3 bilion.

“Angka RM43 trilion tak masuk akal. Angka RM62 bilion juga merapu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengingatkan status hutan simpan kawasan itu, dan berkata lesen teroka “bukan lesen masuk dan tebang balak”.

Di kawasannya, menurut Saifuddin, Hutan Simpan Gunung Bongsu juga mengandungi REE di kawasan seluas 62,500 ekar, dianggarkan sebanyak 312,500 tan dan bernilai USD3.75 bilion.

“Saya akan ikuti dari dekat setiap tindakan kerajaan Kedah dan berkongsi maklumat dengan rakyat. Kot-kot (kalau-kalau) la lepas Sik depa (mereka) mai (datang) kot Kulim pulak.”

Kedah semalam mengumumkan ia menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong REE yang dikatakan banyak ditemui di negeri itu.

Perjanjian dengan syarikat itu, dipercayai mempunyai rakan kongsi antarabangsa, akan membolehkannya ia mengekstrak mineral yang disebut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mungkin bernilai sehingga RM62 bilion.

Sanusi berkata, perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat itu ditandatangani minggu lalu, tetapi beliau enggan menamakan mineral itu atau nama syarikat terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.