
“Kami terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu memberi bantuan secara sukarela kerana ia adalah satu kes yang melibatkan kepentingan awam,” kata Yohendra Nadarajan kepada FMT.
Yohenda berkata, beliau akan berbincang dengan plantif dan ahli pasukan perundangan lain berhubung tawaran Mahathir untuk menjadi saksi.
“Kami menghargai tawaran beliau sejak pemfailan saman itu diketahui umum pada Selasa,” katanya.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Mahathir berkata, saman itu menyentuh Langkah Sheraton susulan kemelut politik yang berlaku pada Feb lepas dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas itu.
“Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Azmin sebagai gambaran amalan demokrasi yang matang.
“Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.
Yohendra berkata, pengurusan kes akan diadakan esok di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengemas kini perkara berkaitan saman itu kepada mereka.
“Kami akan menghantar saman kepada Azmin pada Selasa dan beliau mempunyai 14 hari untuk memasukkan kehadiran,” katanya.
Plaintif memohon perisytiharan bahawa Azmin, selaku Ahli Parlimen, mempunyai tugas fidusiari sebagai wakil rakyat yang dipilih.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Azmin melakukan tort penipuan terhadap mereka dan beliau memungkiri sumpah perlembagaan mengikut Perkara 59(1) yang dibaca bersama Jadual Keenam Perlembagaan.
Dalam penyata tuntutan yang dilihat FMT, plaintif berhujah Azmin membuat representasi bahawa beliau bertanding dalam pilihan raya 2018 untuk menyingkir Barisan Nasional (BN) dan pegawai awam yang korup.
Selepas itu kata mereka, Azmin menjadi punca atau menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Feb, dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang turut meliputi BN, termasuk orang yang diakui sendiri oleh Azmin “terlibat dalam kegiatan rasuah”.
Mereka berkata, Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR itu bersumpah untuk mematuhi manifesto pilihan raya 2018 PH untuk menangani, antara lain salah laku BN ketika ia merupakan kerajaan persekutuan.