APEC 2020 tetap arah tuju Asia Pasifik yang dinamik dan berdaya tahan

APEC 2020 tetap arah tuju Asia Pasifik yang dinamik dan berdaya tahan

Kemuncak APEC 2020 menyaksikan penerimaan Visi Putrajaya 2040 menjadi dokumen panduan utama untuk 20 tahun akan datang.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC secara maya pada 20 Nov. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang baru tamat menetapkan arah tuju bagi rantau itu untuk menjadi sebuah ekonomi komuniti yang berdaya tahan dan dinamik.

Sidang kemuncak pada tahun ini menyaksikan penerimaan Wawasan Putrajaya 2040 yang akan menjadi dokumen panduan utama untuk 20 tahun akan datang dan dibina di atas matlamat Bogor yang dilancarkan pada 1994.

Hasil kerjasama rapat dengan ekonomi APEC, Wawasan Putrajaya menyasarkan pembangunan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 bagi memastikan kesejahteraan dikongsi semua.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang merupakan sekretariat nasional APEC 2020 berkata, terdapat tiga penjana ekonomi utama di bawah wawasan berkenaan, iaitu perdagangan dan pelaburan; inovasi dan digitalisasi; serta pertumbuhan yang kukuh, seimbang, terjamin, lestari dan inklusif.

Deklarasi Kuala Lumpur 2020 juga diterima dalam APEC 2020, dengan pegawai kanan bekerja hingga ke saat terakhir untuk mencapai konsensus dalam deklarasi berkenaan.

“Bagi saya, ia adalah petunjuk jelas berhubung kemampuan kita apabila kita berjaya mengetepikan perbezaan dan fmemokus kepada nilai yang dikongsi bersama,” kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Di bawah deklarasi berkenaan, pemimpin ekonomi menekankan keperluan akses saksama kepada vaksin yang selamat, efektif dan mampu milik sekali gus mengesahkan sokongan kepada kerja yang terus berjalan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Mereka juga menyokong integrasi ekonomi lebih erat di rantau Asia Pasifik di bawah deklarasi berkenaan dan meneruskan dasar yang menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wanita dan potensi ekonomi lain yang tidak dimajukan.

Deklarasi berkenaan juga mencerminkan azam ekonomi untuk memudahkan akses kepada sumber tenaga murah, meningkatkan keselamatan daan kelestarian tenaga untuk pertumbuhan mampan, selain memperkukuh hubungan pemegang taruh atas landasan pemulihan semula ekonomi.

APEC 2020 juga menyaksikan tujuh kenyataan kementerian susulan enam mesyuarat kementerian di peringkat sektor, iaitu perdagangan, kesihatan, kewangan, wanita, PKS dan keselamatan makanan.

Persidangan luar biasa yang diadakan juga menghasilkan Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-Barang Penting, cadangan mengkaji semula langkah untuk membantu pergerakan orang dan tapak kempen langsung Covid-19 APEC.

Dalam ucapannya pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 20 Nov Muhyiddin berkata, beliau menyedari tentang pelbagai respons di rantau itu terhadap usaha menangani pandemik dan peranan APEC yang boleh dimainkan untuk mewujudkan keseimbangan antara keperluan kesihatan dan ekonomi menerusi pakej rangsangan, perintah sekatan dan gelembung perjalanan.

Selain itu, pemimpin kerajaan menyedari keperluan untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi dan teknikal dan pertumbuhan dalam pembangunan sumber manusia untuk memberi sokongan lebih baik kepada pekerja terjejas.

Mereka juga menggesa pemerkasaan persekitaran ekonomi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan dasar inklusif bagi pemulihan rantau ini dalam era pasca pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.