Anak syarikat Top Glove antara yang disiasat berkait asrama pekerja

Anak syarikat Top Glove antara yang disiasat berkait asrama pekerja

Jabatan Tenaga Kerja berkata, 70% syarikat yang disiasat tidak mematuhi piawaian minimum perumahan pekerja.

Jabatan Tenaga Kerja berkata, 19 kertas siasatan dibuka berhubung kemudahan asas untuk penginapan pekerja, keselamatan dan kebersihan.
PUTRAJAYA:
Hanya 30% daripada 24,000 syarikat menyediakan penginapan kepada pekerja kilang dengan mematuhi piawaian perumahan ditetapkan Kementerian Sumber Manusia, menurut pemeriksaan Jabatan Tenaga Kerja.

Ia termasuk beberapa anak syarikat pengeluar sarung tangan Top Glove Corp Bhd, yang kini disiasat atas pelanggaran undang-undang piawaian perumahan yang baru dikuatkuasakan untuk pekerja.

Tambahan, daripada 54,000 syarikat berdaftar di bawah jabatan itu, hanya 665 memohon sijil layak menduduki (CF) atau sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) untuk menyediakan perumahan kepada pekerja, kata pengarah jabatan itu, Asri Ab Rahman dalam sidang media.

Katanya, siasatan itu membabitkan 6 anak syarikat di 5 negeri – Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Selangor.

Asri berkata, 19 kertas siasatan dibuka di bawah Akta 446 (Pindaan) 2019 yang merangkumi ruang penginapan piawaian minimum, kemudahan asas untuk penginapan pekerja dan keselamatan serta kebersihan.

Siasatan itu menyusul lonjakan kes Covid-19 membabitkan pekerja kilang di asrama.

“Sebanyak 63 dakwaan dibuat terhadap beberapa syarikat, termasuk Top Glove.”

Katanya, kesalahan utama adalah kegagalan memohon perakuan penginapan dari jabatan itu. Kesalahan lain termasuk keadaan sesak dalam asrama pekerja.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mula menguatkuasakan pindaan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) mulai 26 Nov lalu.

Pindaan tersebut berkuat kuasa 1 Jun lalu yang mewajibkan keperluan ruang minimum untuk kediaman pekerja, kemudahan asas serta keselamatan dan kebersihan.

“Akta ini bertujuan memberi pekerja penginapan lebih selesa, dan denda berat akan dikenakan kepada syarikat yang tidak mematuhinya,” kata Ismail pada sidang media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.