
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan ke atas 5,805 pekerja terbabit dan merekodkan 3,406 kes positif Covid-19.
“Penilaian risiko KKM mendapati kes positif masih tinggi di kawasan itu, dan masih terdapat kes positif dikesan dalam kalangan pekerja yang melalui ujian saringan kedua.
“Selain itu, KKM mendapati kes negatif dalam kluster berkaitan masih berisiko dan ujian saringan kedua sedang diteruskan.
“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju melanjutkan PKPD di asrama pekerja itu selama 14 hari lagi bermula esok hingga 14 Dis ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan.
Ismail turut mengumumkan bahawa semua pekerja kilang itu diwajibkan menjalani saringan yang dijalankan oleh klinik swasta serta dipantau dan diselia oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Selangor.
Katanya, pekerja yang disaring dan negatif bagi bukan warganegara akan diletakkan di stesen kuarantin dan bagi warganegara perlu menjalani kuarantin di rumah
“Kesemua pekerja di atas akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama empat belas (14) hari, memantau status kesihatan harian, memakai gelang pengawasan serta menjalani saringan ulangan pada hari ke tiga belas (13).
“Bagi pekerja yang didapati positif bukan warganegara ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di asrama lelaki dan perempuan yang diwartakan di kawasan PKPD.
“Warganegara ditempatkan di fasiliti kesihatan KKM,” katanya.
Ismail berkata, pekerja yang menjalani kuarantin tidak dibenarkan bekerja sehingga keputusan saringan ulangan adalah negatif dan pelepasan HSO diberikan.
“Pergerakan pekerja dari pusat kuarantin dan PKRC mesti dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Selangor,” katanya.
Ismail berkata, kerajaan juga bersetuju bahawa kos saringan, keperluan menyediakan serta menguruskan PKRC dan stesen kuarantin, makan minum, penginapan pekerja serta pengangkutan ke PKRC dan stesen kuarantin akan ditanggung oleh pihak majikan.
“Pekerja bukan warganegara hanya dibenarkan bekerja sekiranya diberi pelepasan HSO atau kes positif yang telah discaj dari fasiliti kesihatan KKM atau PKRC dan diberi nota discaj yang disahkan.
“Kesemua pekerja yang telah dilepaskan daripada HSO akan dipakaikan gelang pengawasan yang berlainan warna daripada pekerja dalam HSO,” katanya.
Saringan Covid-18 ke atas semua pekerja asing bermula esok
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, bermula esok semua pekerja warga asing akan menjalani saringan dan mereka telah dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).
“Bagi tujuan ini, syarikat terlibat dikehendaki melaksanakan perkara-perkara berikut, iaitu menyediakan stesen kuarantin (QS) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang bersesuaian.
“Menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, dan saraan makan minum dan penginapan pekerja.
“Menyediakan pengangkutan bagi membawa pekerja ke QS dan PKRC serta menanggung kos saringan Covid-19 pekerja.
“Jika pekerja positif ujian RTK-Ag dan tiada gejala, maka pekerja boleh ditempatkan di asrama pekerja yang disediakan oleh majikan dengan pengasingan dari pekerja yang negatif RTK-Ag.
“Jika keadaan asrama tidak bersesuaian, pekerja perlu ditempatkan di PKRC yang disediakan oleh pihak majikan
“Jika pekerja positif ujian RTK-Ag, dan pekerja mempunyai gelaja ringan, maka pekerja ditempatkan PKRC yang disediakan oleh pihak majikan.
“Jika positif ujian RTK-Ag, dan pekerja mempunyai gejala serius, maka pekerja dimasukkan ke hospital.
“Pekerja yang disahkan positif melalui ujian RT-PCR boleh terus ditempatkan di PKRC yang disediakan oleh pihak majikan atau dimasukkan ke hospital.
Semua pesakit yang telah discaj perlu dipakaikan gelang pengawasan berwarna selain daripada warna gelang HSO (untuk membezakan dari pekerja yang sedang dalam kuarantin),” katanya,
Katanya, pada peringkat permulaan, saringan akan bertumpu di kawasan berisiko tinggi di negeri Selangor, Negeri Sembilan,Kuala Lumpur,Labuan, Pulau Pinang serta Sabah.