
Meski mereka akui ia sukar dilaksanakan, tetapi seorang berkata terdapat duluan yang boleh dicontohi, sementara yang lain percaya dasar yang baik akan membantu.
Mereka mengulas kenyataan bekas pengerusi CIMB, Nazir Razak, pada forum kepemimpinan alumni Chevening baru-baru ini. Nazir kecewa pengaruh berterusan politik dalam ekonomi dan menyeru suatu “penetapan semula sistem” untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam pasaran global.
Firdausi Suffian, seorang pensyarah dasar awam di Universiti Teknologi Mara, memberitahu FMT, Malaysia boleh mengkaji Korea Selatan, yang secara berkesan mengatur syarikat-syarikat “chaebol” susulan Krisis Kewangan Asia 1997.

“Chaebol” adalah konglomerat besar yang sering mempunyai kaitan dengan kerajaan.
“Kerajaan mereka membuat pilihan yang sukar, mengatakan jika syarikat besar tidak ikut kriteria tertentu, mereka akan dihukum, membuatkan mereka bekerja lebih keras dan berubah,” katanya.
Antara perubahannya adalah syarikat terbabit terpaksa menjual atau mencairkan anak syarikat yang gagal dan memperbaiki tadbir urus korporat, langkah yang membantu melindungi mereka daripada krisis besar ekonomi berikutnya pada 2008.
“Mereka perlahan-lahan mengumpulkan modal dan dana sendiri, dengan itu kurang bergantung pada kerajaan,” katanya.
Firdausi merujuk kepada perubahan jawatan pengarah di firma besar Malaysia yang akan berlaku setiap kali pertukaran kerajaan, mengatakan ini menunjukkan betapa besar pengaruh Putrajaya.
Katanya, individu digemari yang tidak mendapat jawatan Kabinet biasanya dilantik untuk jawatan tertinggi di syarikat berkaitan kerajaan.
Shankaran Nambiar, seorang felo penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), bersetuju pembaharuan tidak patut ditangguhkan.

Beliau berkata pengaruh politik tidak boleh menjejaskan ketelusan, atau mengakibatkan toleransi terhadap rasuah, dalam syarikat.
“Sekiranya reformasi institusi terus diabaikan, kesannya terhadap ekonomi akan merosakkan. Ini akhirnya akan menjauhkan pelaburan domestik dan asing. Kebocoran ekonomi akan mengatasi kebajikan yang diraih,” katanya.
Beliau mengakui “ekonomi tidak pernah bebas dari pengaruh politik”, tetapi dasar yang memastikan kebertanggungjawaban dan kepatuhan pada proses yang tepat boleh selesaikan beberapa masalah yang biasanya akibat pengaruh politik yang tidak berpada-pada.