Wakil rakyat DAP gesa tarik balik peruntukan RM8.6 juta Penggerak Komuniti Tempatan

Wakil rakyat DAP gesa tarik balik peruntukan RM8.6 juta Penggerak Komuniti Tempatan

Wong Kah Woh mendakwa Zuraida Kamaruddin hanya cuba "memutarpelikkan" fakta dan bertujuan politik semata-mata dalam isu penubuhan PeKT

Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hanya cuba “memutarpelikkan” fakta dan bertujuan politik semata-mata dalam isu penubuhan PeKT.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat DAP menggesa peruntukan RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) ditarik balik dan digunakan untuk memanfaatkan rakyat.

Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh mendakwa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hanya cuba “memutarpelikkan” fakta dan bertujuan politik semata-mata dalam isu penubuhan PeKT.

Wong berkata demikian selepas Zuraida menjawab mengenai peruntukan berjumlah RM8.6 juta pada 2021 kepada PeKT.

“Beliau menyatakan program dilaksanakan bawah Dasar Komuniti Negara dan bagaimana PeKT akan memainkan peranan dalam pelaksanaan program tersebut.

“Jawapan menteri KPKT merupakan suatu jawapan yang berputar pelik dan tidak langsung menyentuh berkenaan isu pokok iaitu kepentingan politik dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wong berkata dua minggu lalu beliau menerima jawapan daripada Zuraida yang kerajaan memperuntukkan RM2.6 juta pada 2020 untuk tujuan PeKT di 3 negeri diperintah pembangkang.

Katanya, sebanyak 261 ahli PeKT melibatkan 46 kerajaan tempatan dilantik.

Wong berkata, jika tujuan utama PeKT untuk membantu pelaksanaan Dasar Komuniti Negara seperti didakwa Zuraida, beliau perlu menjawab sama ada pelantikan ahli PeKT merupakan lantikan politik semata-mata.

“(Selain itu), sama ada KPKT tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan ke atas kerajaan tempatan di negeri diperintah pihak pembangkang dalam melaksanakan Dasar Komuniti Negara.

“Sama ada KPKT tidak berhasrat melaksanakan program bawah Dasar Komuniti Negara, atau KPKT berpendapat program tersebut tidak perlu di negeri diperintah kerajaan Perikatan Nasional, memandangkan tidak ada seorang pun ahli PeKT dilantik,” katanya.

September lalu, satu kumpulan kerajaan tempatan mempersoalkan keputusan Zuraida melantik penggerak komuniti dalam majlis tempatan dengan berkata, beliau mungkin bertindak melampaui bidang kuasanya sebagai menteri.

Kementerian itu berkata, Dasar Komuniti Negara digubal untuk “memupuk suasana harmoni dan mampu diri” dalam kalangan komuniti tempatan.

Bagaimanapun, kumpulan Gabungan Demokrasi Tempatan mempersoalkan sekiranya tindakan melantik wakil (yang dikenali sebagai PeKT) merupakan penyalahgunaan kuasa untuk manfaat politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.