KPM cari kaedah berkesan untuk murid susulan penutupan sekolah

KPM cari kaedah berkesan untuk murid susulan penutupan sekolah

Menteri akui murid-murid hilang masa sekolah - cabaran besar ketika pandemik.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa mencari kaedah pembelajaran yang berkesan untuk memastikan murid-murid mendapat peluang pendidikan yang berkualiti di sebalik penutupan sekolah ekoran gelombang ke-3 pandemik Covid-19.

Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin, akui ruang untuk belajar secara bersemuka tiada namun kementerian akan mengatasinya dengan mengoptimumkan kaedah pembelajaran, antaranya mengedarkan bahan pengajaran kepada murid yang tiada akses internet.

“Kita akui, murid-murid hilang masa sekolah. Inilah cabaran utama kita ketika berlaku gelombang ketiga.

“Kita tidak mahu jika sekolah dibuka, akan berlaku jangkitan kerana seperti kita maklum, berlaku banyak kluster di tempat kerja dan ini akan menyebabkan anak-anak juga berisiko mendapat jangkitan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang menyatakan kerisauan mengenai sesi persekolahan yang hanya dibuka kira-kira 4 bulan tahun ini.

Guan Eng mendakwa, penutupan sekolah dalam tempoh yang lama dikhuatiri menjejaskan masa depan sumber manusia negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.