Penjara Seremban dikenakan kawalan PKPD

Penjara Seremban dikenakan kawalan PKPD

PKPD itu melibatkan 2,080 orang penghuni.

PETALING JAYA:
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula 24 Nov.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan melaksanakan sebanyak 246 ujian saringan bersasar dan sebanyak 25 kes positif direkodkan di penjara ini.

“PKPD ini akan meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang melibatkan 2,080 orang penghuni,” katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan perintah kawalan berpegerakan bersyarat (PKPB) di Kuching, Sarawak susulan masih terdapat 58 kes aktif membabitkan beberapa kluster di daerah berkenaan.

“Bagaimanapun, sekiranya dalam tempoh lanjutan PKPB ini KKM mendapati tiada pertambahan kes positif Covid-19 dan terkawal, PKPB di daerah ini boleh ditamatkan lebih awal.”

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan lanjutan PKPD di Kampung Sabah Baru di Lahad Datu, Sabah dan Putra Point Nilai, Negeri Sembilan.

“Sehingga 15 Nov, sebanyak 1,914 ujian saringan dilaksanakan dan sebanyak 200 kes positif direkodkan di lokaliti ini,” katanya tentang Kampung Sabah Baru.

“Lanjutan tempoh PKPD ini bagi membolehkan saringan secara berterusan dapat dilakukan oleh pihak KKM dan bagi membendung penularan Covid-19 di lokaliti ini.”

Mengenai PKPD di Putra Point Nilai, beliau berkata ia dilanjutkan sehingga 30 Nov bagi menunggu sehingga semua keputusan sampel saringan kedua diperolehi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan, PKPD di Taman Mesra di Sandakan, Sabah; Plaza Hentian Kajang, dan Medan 88 di Salak Tinggi, Sepang, Selangor ditamatkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“PKPD di Taman Mesra, Sandakan dan Plaza Hentian Kajang tamat pada 24 Nov manakala Medan 88 di Salak Tinggi, Sepang tamat pada 25 Nov,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.