
Jurucakap Grab kemudian memberitahu FMT, syarikat berkenaan sedia maklum dan kesal dengan kejadian itu.
Grab berkata, pihakya tidak bertolak ansur terhadap gangguan seperti itu, dan pemandu yang melakukan kesalahan berdepan tindakan penggantungan atau dikeluarkan selepas semakan dibuat.
Penumpang Grab Sheryll Fatihah berkata, dia berdepan pengalaman menakutkan selama 26 minit pada Sabtu lalu.

Wanita itu berkata, pemandu berkenaan pada mulanya bertanya adakah payudaranya “asli atau implan”.
Ketika itu, dia menyuruh pemandu berkenaan berhenti bercakap. Lelaki itu akur. “Dia berhenti bercakap tetapi melihat saya melalui cermin pandang belakang. Dia memecut setiap kali melalui jalan berbonggol,” katanya kepada FMT. “Saya rasa dia berada bawah pengaruh sesuatu.”
Sheryll berkata, pemandu berkenaan turut melanggar pembahagi jalan selepas dia menunjukkan destinasi hendak dituju di telefon. Wanita itu mendakwa pemandu berkenaan melalui jalan suram dan sepanjang masa melihat cermin pandang belakang.
“Nasib baik sempat sampai ke destinasi. Apa akan berlaku jika saya tertidur? soalnya.
Jurucakap Grab berkata, penumpang yang berdepan situasi seperti itu perlu menggunakan butang “Dapatkan Bantuan Kecemasan” pada aplikasi berkenaan supaya bantuan segera dapat diberikan.