Wujud konflik kepentingan menteri terus teraju YWP, kata C4

Wujud konflik kepentingan menteri terus teraju YWP, kata C4

Annuar Musa mempunyai kuasa untuk menolak keputusan datuk bandar Kuala Lumpur dalam perkara perancangan seperti termaktub dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982..

YWP ialah syarikat berdaftar bawah Akta Syarikat 1965 dan tidak diawasi oleh mana-mana pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan anti rasuah berkata terdapat konflik kepentingan yang jelas kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk terus menerajui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), memberi amaran ia boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, Annuar mempunyai kuasa untuk menolak keputusan datuk bandar Kuala Lumpur dalam perkara perancangan seperti termaktub dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

“(Selain) merupakan pengerusi kepada pemilik tanah persendirian menerusi YWP, (Anuar) juga mempunyai kuasa yang membolehkan keputusan kerajaan berpihak kepada pemilik tanah persendirian yang sama,” kata Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dalam kenyataan.

“Secara jelasnya, timbul isu konflik kepentingan dan potensi penyalahgunaan kuasa seperti dilihat pada masa lalu.

“Penglibatan YWP kononnya dalam beberapa penjualan tanah sangat membimbangkan kerana ia adalah sebuah syarikat berhad yang tidak terikat dengan sebarang audit persekutuan atau kerajaan.

“Justeru, tiada sebarang mekanisme ketelusan atau kebertanggungjawaban untuk mengesan penipuan dan/atau konflik kepentingan berhubung urusan melibatkan tanah kerajaan.”

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini mendedahkan 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL dilakukan tanpa merujuk kepada sebarang SOP sejak 2011, proses itu terlalu longgar dan mudah terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.

PAC juga menyatakan pengurusan YWP terdedah konflik kepentingan kerana menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur adalah pengerusi dan ahli lembaga pemegang amanah yayasan itu.

YWP ialah sebuah syarikat berdaftar bawah Akta Syarikat 1965 dan ia tidak diawasi oleh mana-mana pihak berkuasa, termasuk Jabatan Audit Negara.

C4 turut membidas bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad kerana kegagalannya memberi penjelasan lebih jelas mengenai penjualan tanah itu, sambil menambah mereka menganggarkan tanah terbabit bernilai sekitar RM4.28 bilion.

“Transaksi itu dilakukan bawah bidang kuasa bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor. Walaupun berlaku pertukaran kerajaan, butiran mengenainya tetap dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada umum.

“Antara lain, Khalid gagal menjelaskan bagaimana penjualan tanah menjadi sesuatu yang meragukan pada peringkat permulaan, kenapa SOP tidak diikuti dan jenis pembaharuan yang ingin dilakukannya sebagai langkah pencegahan,” katanya.

C4 juga menggesa supaya laporan pasukan petugas khas 2018 mengenai penjualan tanah dibahaskan di Parlimen dan menambah hasil laporan itu masih belum diterbitkan sehingga kini.

Mereka turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi butiran mengenai siasatan sebelum ini dan membuka semula siasatan, terutama yang melibatkan YWP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.