Peguam besar Sabah berdepan tekanan lepas jawatan, kata sumber

Peguam besar Sabah berdepan tekanan lepas jawatan, kata sumber

Sumber itu berkata kerajaan GRS mahu memilih seorang yang mereka boleh bekerjasama dengan selesa.

Brenndon Keith Soh dilantik sebagai Peguam Besar Sabah selama 2 tahun mulai 11 Julai 2020.
KOTA KINABALU:
Tekanan semakin meningkat terhadap Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh supaya melepaskan jawatan berikutan perubahan kerajaan selepas pilihan raya negeri 26 September lalu, kata sumber.

“Peralihan yang lancar perlu kerana jawatan itu penting untuk membantu kepimpinan politik baharu,” kata sumber itu kepada FMT.

Sumber itu berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu memilih seorang yang mereka boleh bekerjasama dengan selesa.

FMT menghubungi Soh dan sedang menunggu respons beliau.

Pada 24 Julai, ketua menteri Sabah ketika itu Shafie Apdal mengumumkan Soh dilantik ke jawatan berkenaan selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin.

Soh, 43, bekas presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, dilantik sebagai peguam besar negeri selama 2 tahun mulai 11 Julai 2020.

Beliau menggantikan Zaleha Rose Pandin yang dilantik pesuruhjaya kehakiman.

Soh mewakili Yang di-Pertua dalam saman difailkan bekas Adun Sungai Sibuga Musa Aman berhubung pemecatannya sebagai ketua menteri, sehari selepas pelantikan beliau pada 10 Mei.

Sehari selepas itu, Shafie dilantik dan pertikaian “2 ketua menteri” kini didengar di Mahkamah Persekutuan.

Soh turut mewakili Yang di-Pertua apabila Musa dan 32 Adun lain memfailkan tuntutan mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Mereka berpendirian, Shafie tidak boleh menasihati Yang di-Pertua untuk membubarkan DUN kerana beliau hilang sokongan majoriti Adun.

GRS memenangi pilihan raya negeri untuk membentuk kerajaan baharu. GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS memenangi 38 kerusi-dengan PN 17 kerusi, BN (14) dan PBS (7).

Warisan Plus terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Upko memenangi 32 kerusi.

Tiga kerusi lain dimenangi calon bebas yang juga bersekutu dengan kerajaan GRS.

Bagaimanapun, kerusi Bugaya dikosongkan 3 hari lalu selepas kematian Manis Muka Mohd Darah dari Warisan akibat masalah buah pinggang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.