Poster filem ‘BABI’ Namewee cetus provokasi, Pemuda PN lapor polis

Poster filem ‘BABI’ Namewee cetus provokasi, Pemuda PN lapor polis

Mohammad Azwan berkata poster filem yang mengandungi perkataan sensitif itu dibimbangi akan menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia.

(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee, berkenaan poster filem terbaharunya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Laporan polis itu dibuat Ahli Unit Penerangan Pemuda PN Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada pukul 11.07 pagi.

Mohammad Azwan berkata laporan polis dibuat kerana poster filem bertajuk ‘BABI’ itu mengandungi perkataan ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’.

“Penghinaan dan provokasi ini dilihat amat keterlaluan dan merupakan satu tindakan kurang ajar serta biadab, dibimbangi menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Beliau berkata pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses oleh rakyat Malaysia melalui Facebook, Youtube dan Instagram miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.