Idea timbalan menteri supaya bank cetak, agih wang ‘naif’, kata pakar ekonomi

Idea timbalan menteri supaya bank cetak, agih wang ‘naif’, kata pakar ekonomi

Carmelo Ferlito berkata, ia akan menyebabkan nilai wang turun dan harga barang naik.

Pakar berkata kerajaan perlu melaksanakan strategi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, bukan mewujdkan perasaan lebih kaya yang palsu dari segi ekonomi.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menolak cadangan seorang timbalan menteri agar Bank Negara mencetak dan mengedarkan wang kepada golongan bawah 40 (B40) untuk meningkatkan kemampuan perbelanjaan mereka dengan menyifatkan idea itu sebagai “naif”.

Dalam temu bual bersama radio BFM 89.9, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal berkata, ia adalah salah satu langkah yang dapat digabungkan dengan gesaan mengenai pengampunan hutang bersasar.

Wan Fayshal selepas itu berkata, banyak pihak salah faham berhubung komen beliau, sambil merujuk kepada teori monetari moden (MMT) yang dikemukakan oleh ahli akademik.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito bagaimana pun berkata, MMT dan idea mencetak wang cacat dan jika mencetak dan mengagihkan wang untuk merangsang penggunaan berjaya, maka kemiskinan tidak akan menjadi isu.

Carmelo Ferlito.

“Secara jelas relaiti tidak berjalan seperti itu,” katanya kepada FMT.

Nilai wang katanya, secara terbalik berkait dengan kuantiti barang yang tersedia.

“Oleh itu, jika kita memasukkan lebih banyak wang ke dalam sistem itu, nilai wang akan berkurang. Paling baik orang ramai hanya akan menjadi lebih kaya dari segi nominal.

“Hakikatnya, akan berlaku kenaikan harga barang untuk mengimbangi jumlah wang yang tinggi.”

Ferlito berkata, situasi itu pernah berlaku di Venezuela di mana wang kertas dibuang begitu sahaja kerana ia tiada nilai.

Katanya, negara-negara lain yang melaksanakan dasar tersebut, akhirnya mengabaikannya selepas inflasi berleluasa dan mata wang lemah.

“Cara terbaik untuk menolong orang ramai sekarang bukanlah dengan memberikan perasaan kaya yang palsu dari segi kewangan tetapi melaksanakan strategi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi akan mewujudkan peluang pekerjaan yang diperlukan oleh pasaran. Akhirnya, inilah yang akan menyaksikan orang ramai memperoleh lebih banyak pendapatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.