Darurat di Gerik? MB Perak sokong, elak PRK demi kekang Covid-19

Darurat di Gerik? MB Perak sokong, elak PRK demi kekang Covid-19

Ahmad Faizal Azumu berkata perihal politik tidak menjadi keutamaan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata proses demokrasi bagaimanapun akan terus berjalan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun sudah memaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Gerik kepada SPR semalam.
IPOH:
Perak mengalu-alukan jika darurat diisytihar di Gerik bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) diadakan berikutan pandemik Covid yang semakin membarah.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu perlu dengan mengambil pengajaran daripada keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi semalam.

“Kita masih meratapi pemergian (ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman). Saya langsung tak pernah terlintas PRK (diadakan) di kawasan tersebut kerana yang penting ketika ini, kita nak berdepan dengan pandemik Covid-19 yang semakin membarah.

“Perihal politik ini tidak menjadi keutamaan bagi diri saya secara peribadi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Khas Tani Covid-19 hari ini.

Sultan Abdullah semalam bersetuju mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sabah bagi menangguhkan PRK, yang sepatutnya diadakan pada 5 Disember.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi pada 5 Disember, mengundi awal pada 1 Disember, dan hari penamaan calon pada 23 November.

PRK Batu Sapi diadakan mengikut ketetapan undang-undang, berikutan kematian penyandang, Liew Vui Keong, pada 2 Oktober.

Ahmad Faizal berkata, proses demokrasi bagaimanapun akan terus berjalan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun sudah memaklumkan kekosongan kerusi Parlimen Gerik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

“Proses itu akan berjalan tetapi mengambil pengajaran daripada apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dengan menjadikan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi.

“Jadi saya fikir mungkin perkara sama (darurat) diadakan di Gerik, malahan di Sabah..itu jika berlakulah..jika ia tidak berlaku maka kita perlu lalui proses demokrasi,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan Projek Khas Tani Covid-19, Ahmad Faizal berkata, Perak memperuntukkan RM856,000 bagi melaksanakan projek berkenaan.

Katanya, bantuan melalui projek itu akan memberikan manfaat kepada 318 petani yang mengusahakan tanaman makanan utama seperti sayuran, pisang, betik, jagung dan fertigasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.