KKM tubuh pusat kawalan bersepadu Covid-19 wilayah tengah

KKM tubuh pusat kawalan bersepadu Covid-19 wilayah tengah

Ia sebagai usaha melancarkan tadbir urus dan pengoperasian semua hospital dan pusat kuarantin serta rawatan wabak itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pusat itu akan diketuai Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman dan dibantu Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Dr Sarah Shaikh Abdul Karim.
PUTRAJAYA:
Pusat kawalan bersepadu Covid-19 (PKRC) wilayah tengah ditubuhkan dalam usaha melancarkan tadbir urus dan pengoperasian semua hospital, pusat kuarantin serta rawatan wabak itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pusat itu akan diketuai Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman dan dibantu Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Dr Sarah Shaikh Abdul Karim.

“Diharap kerjasama padu KKM dan agensi lain serta penubuhan PKRC ini mampu melancarkan pengurusan wabak Covid-19 di Lembah Klang,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata sebagai langkah kesiapsiagaan lanjut bagi menampung kemasukan pesakit susulan lonjakan kes positif di Lembah Klang, KKM meningkatkan jumlah katil rawatan Covid-19 sedia ada di Hospital Sungai Buloh kepada 630.

“Menambah jumlah katil rawatan Covid-19 sedia ada di Hospital Kuala Lumpur kepada 831 katil, menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid Covid-19 dengan 230 katil Covid-19.

“Membuka semula 8 blok Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 2,400 katil dan meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah dengan kapasiti semasa 648 katil,” katanya.

Sehingga kini, jumlah katil bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 pada 1 Oktober kepada 4,739 katil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.