Utamakan identiti Malaysia sebelum etnik, kata ahli akademik

Utamakan identiti Malaysia sebelum etnik, kata ahli akademik

Rabi'ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa berkata sudah sampai masanya untuk membincangkan idea 'identiti Malaysia'.

Seorang ahli akademik menyeru kajian lebih terperinci ke atas sensitiviti kaum, stereotaip, dan prejudis.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menyeru amalan “identiti Malaysia” diutamakan berbanding identiti etnik.

Bercakap di webinar anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa berkata masalah dengan identiti etnik adalah ia membawa kepada mentaliti “kita lawan mereka” dalam kalangan rakyat.

Di Malaysia, katanya, naratif lawan itu sering muncul dalam label Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Namun, mengutamakan identiti Malaysia bukanlah bermaksud melepaskan identiti etnik, sebaliknya mendakap identiti Malaysia.

Katanya, walaupun Rukun Negara menjadi asas kesatuan kebangsaan, ia tidak terserlah dalam cara rakyat menganggap diri masing-masing sebagai anggota satu masyarakat.

“Ia bukanlah mengenai membuang identiti etnik kita, tetapi bagaimana kita boleh bina suatu lagi identiti untuk semua rakyat terima, tanpa rasa identiti etnik masing-masing terancam.

“Kita bercakap tentang makanan, tetapi itu simbolik. Kita belum bincang secara mendalam tentang nilai-nilai yang kita sebagai rakyat mahukan,” katanya.

Rabi’ah berkata kebanyakan orang masih terasing dalam kumpulan etnik masing-masing, keadaan yang menyukarkan perbincangan mengenai aspek identiti lain, seperti gender dan kedudukan sosio-ekonomi.

Beliau menyeru lebih banyak kajian ke atas diskriminasi kaum untuk lebih memahamkan dan mencari cara menyelesaikan masalah sensitiviti berasaskan kaum, stereotaip, dan prejudis.

Ahli ekonomi, Lee Hwok-Aun, yang bekerja di Institut ISEAS–Yusof Ishak, berkata kekecewaan sekitar dasar semasa berkenaan Bumiputera di universiti awam boleh difahami, tetapi dasar itu juga alat untuk membangunkan suatu sistem pendidikan yang lebih berdaya saing.

“Menambah bilangan pelajar bukan Bumiputera (di universiti awam) akhirnya tidak membantu sesiapa pun dari segi meningkatkan tahap pencapaian akademik,” katanya.

“Kita sepatutnya menyokong program membangunkan kebolehan Bumiputera kerana itu akhirnya akan memberi manfaat kepada semua.”

Beliau berkata institusi awam harus melebihkan keutamaan kepada golongan miskin berbanding Bumiputera, bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan yang memerlukan bantuan.

CEO Institut Masa Depan Malaysia, Nizam Mahshar bersetuju, mengatakan isu sebenar dasar pro-Bumiputera adalah penyampaian dan pelaksanaan yang lemah.

Beliau berkata dasar seperti itu gagal kerana ia cenderung terdedah kepada rasuah, ketirisan, dan salah guna kuasa atas alasan pemberdayaan Bumiputera, mengatakan kekurangan data menyukarkan usaha reformasi.

Nota editor: Versi awal laporan ini melaporkan Rabi’ah Aminudin dari UIAM berkata istilah Bumiputera dan bukan Bumiputera tidak perlu ditekankan. Laporan ini diubah selepas dijelaskan beliau berkata identiti Malaysia harus diutamakan sebelum identiti etnik. Kami memohon maaf atas salah faham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.