Jangan campur politik Sabah, jaga P Pinang, Bung beritahu Guan Eng tentang PRK Bugaya

Jangan campur politik Sabah, jaga P Pinang, Bung beritahu Guan Eng tentang PRK Bugaya

Keputusan untuk bertanding pada PRK Bugaya susulan pemergian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah tertakluk kepada parti di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin berkata Sabah perlu menentukan hala tuju politiknya sendiri.
KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin memberitahu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya tidak campur tangan dalam politik Sabah selepas beliau mencadangkan semua parti memberi laluan kepada Warisan mengekalkan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata, keputusan untuk bertanding pada PRK Bugaya susulan pemergian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah (Warisan) tertakluk kepada parti di negeri itu.

“Kamu beritahu Lim Guan Eng biar Sabah menentukan hala tuju politik Sabah,” katanya ketika dihubungi.

“Sama ada bertanding atau tidak itu perkara lain, yang penting kami Sabah tahu macam mana menilai sejauh mana perkembangan politik di Sabah (dan bagaimana) kita boleh bergerak.”

Bung, yang juga Adun Lamag, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai 60 hari untuk menentukan tarikh PRK.

“Dalam 60 hari macam-macam boleh berlaku…kami tidak perlu komen kenyataan Lim. Dia jaagalah Pulau Pinang,” katanya.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada BN, Perikatan Nasional (PN) dan PBS memenangi 38 daripada 73 kerusi ditandingi pada pilihan raya negeri 26 September lalu.

Warisan Plus pula memenangi 32 kerusi.

Terdahulu, Lim mengeluarkan kenyataan menggesa Ketua Menteri Hajiji Noor menghormati mandat pengundi Bugaya pada pilihan raya negeri baru-baru ini dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan awam.

Beliau berkata, Hajiji yang pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini, tentu mengetahui bahaya ditimbulkan wabak itu berikutan pilihan raya negeri.

“Mengutamakan rakyat daripada politik akan menjadi permulaan yang baik bagi ketua menteri yang baru, yang baru saja pulih daripada Covid-19.

“Membenarkan Warisan menang Bugaya tanpa bertanding akan membuktikan kepada rakyat bahawa Hajiji komited untuk memerangi dan mengatasi ancaman Covid-19 bersama dengan semua pihak,” kata ahli Parlimen Bagan.

Manis Muka, 65, meninggal dunia semalam selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di sebuah hospital swasta di sini. Difahamkan beliau menderita masalah buah pinggang.

Pada pilihan raya negeri 26 September lalu, Manis Muka mempertahankan kerusi Bugaya dengan majoriti 6,005 undi dalam pertandingan 7 penjuru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.