
Dalam beberapa gambar yang tular, sekumpulan pekerja pembinaan yang memakai gelang merah jambu didapati bekerja seperti biasa di sebuah tapak pembinaan yang tidak didedahkan lokasinya.
Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata, pengasingan sosial tidak sesuai kepada pekerja asing yang disyaki atau disahkan dijangkiti Covid-19 kerana kebanyakan mereka tinggal di bilik yang sesak atau berdepan tarikh akhir untuk menghabiskan projek pembinaan.
“Meskipun terdapat banyak insiden dan kluster di tapak pembinaan, pengeluar seperti Top Glove, perladangan dan juga industri lain masih akan meletakkan pekerja mereka dalam keadaan yang bahaya secara berterusan,” katanya.
Beliau mempersoal mengapa pihak berkuasa penguatkuasaan tidak mengawasi dan mengambil tindakan terhadap majikan dan syarikat daripada sektor berkenaan.
“Mengapa kerajaan tidak memastikan supaya penguatkuasaan serta penyeliaan dan pengawasan secara kerap dapat dilakukan?
“Industri dan sektor berkenaan hanya berminat menjana pendapatan dengan menggunakan pekerja dan mereka pasti tidak akan mengubah pendekatannya. Bagi mereka, memberi perlindungan kepada pekerja atau mangsa melalui ‘penjarakan sosial’ dan langkah pencegahan yang berkaitan kesihatan adalah asing daripada mereka atau ia bukan keutamaan mereka.
“Oleh itu tidak ada masalah bagi mereka sekiranya pekerja mereka yang bekerja di tempat sempit dan tidak bersih dijangkiti Covid-19,” katanya.