
Lebih sejuta isi rumah di Lembah Klang mengalami gangguan air minggu lepas. Ia dikaitkan dengan kilang yang membuang pelarut industri lurang pembetung ke fasiliti Indah Water Konsortium, kes terbaru dalam satu siri pencemaran di negeri itu.
Charles Santiago, ahli Parlimen Klang dan bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berkata sungai perlu dijadikan kawasan keselamatan negara, tiada kilang patut dibenarkan berada dalam jarak 100 hingga 150m dari sumber air.
“Ini bermaksud tiada pergerakan orang ke kawasan itu. Ini juga bermaksud anda perlu merobohkan semua kilang.
“Jika ia adalah kilang yang sah, mereka boleh meminta untuk dipindahkan ke kawasan perindustrian. Jika mereka haram, anda boleh putuskan sama ada mahu mengesahkannya, memindah atau merobohkannya. Negeri boleh putuskan.”
Ketika ini, katanya, syarikat yang mahu membina kilang bersempadanan dengan sungai hanya memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Beliau mengakui gangguan bekalan air baru-baru ini membuatkan pihak berkuasa terbabit lebih berhati-hati, tetapi syarat yang ditetapkan untuk syarikat masih rendah.
K Kalithasan, pengurus Program Penjagaan Sungai di Pusat Alam Sekitar Global, bersetuju kerajaan patut mengawal penggunaan tanah dengan memperketatkan pengeluaran lesen.
“Meletakkan syarat pada pelesenan adalah cara terbaik. Mereka boleh melaksanakan larangan menyeluruh ke atas kilang industri berat di hulu sumber air.”
Beliau berkata, mungkin ada penyelesaian cukup mudah yang jelas kerana Selangor mempunyai banyak fasiliti simpanan air, seperti Hybrid Off-River Augmented Storage (Horas).
Ketika pendekatan semasa melibatkan mengepam air simpanan ke air tercemar untuk mencairkan bahan cemar, Kalithasan berkata, air simpanan itu sebaliknya perlu digunakan sama seperti tangki air simpanan di rumah.
“Ini bermaksud loji rawatan mempunyai 2 pilihan – pengekstrakan terus dari sungai, seperti apa yang berlaku kebiasaannya, dan ketika kecemasan, ia boleh bertukar untuk mengambil air terus dari Horas dan pilihan simpanan air lain.”
Katanya, langkah itu dapat mengelakkan keperluan menutup loji rawatan, yang mengambil masa untuk memulakan operasi semula dan menyediakan bekalan air lebih konsisten ketika krisis.
Santiago berkata, terlalu banyak agensi yang terlibat ketika ini, oleh itu beliau mengulangi gesaan untuk sebuah badan perlindungan sungai ditubuhkan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan ke atas perlindungan alam sekitar.
Beliau berkata, rakyat Selangor terus menjadi mangsa pencemaran, dan menggesa reformasi sistem air dijadikan “keutamaan”.