Polis rekod 5,218 kes ‘Macau scam’ libat kerugian RM256 juta hingga Okt tahun ini

Polis rekod 5,218 kes ‘Macau scam’ libat kerugian RM256 juta hingga Okt tahun ini

Menurut polis, daripada jumlah itu 2,676 kes berjaya ditumpaskan dan 1,420 kes dituduh di mahkamah di seluruh negara.

Polis berkata, mangsa ‘Macau scam’ paling ramai adalah wanita, iaitu lebih 3,000 kes dan kebanyakan mereka berumur lebih 51 tahun. (Gambar AFP)
MELAKA:
Polis merekodkan 5,218 kes sindiket penipuan “Macau scam” di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, yang melibatkan jumlah kerugian menjangkau sehingga RM256 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 2,676 kes berjaya ditumpaskan oleh polis, dan 1,420 kes dituduh di mahkamah di seluruh negara.

“Mangsa yang paling ramai adalah wanita, iaitu lebih 3,000 kes dan kebanyakan daripada mereka berumur lebih 51 tahun.

“Pada kebiasaannya mangsa yang tertipu berada dalam keadaan tertekan dan takut akan ditangkap dan dilokap, selain risau hartanya akan dirampas.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan ketua polis Melaka dan pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Majid Mohd Ali dilantik menjadi ketua polis Melaka yang baru menggantikan Mat Kasim Karim yang dilantik sebagai timbalan pengarah pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, sejumlah 169 pegawai dan anggota polis di Melaka menjalani kuarantin sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas sehingga semalam, susulan mempunyai kontak rapat dengan orang awam yang terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Katanya daripada jumlah itu, 164 orang didapati bebas daripada jangkitan tersebut, manakala 5 masih menunggu keputusan ujian saringan yang dijalankan, selain anggota yang diletakkan di bawah pengawasan di hospital dan di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.