
Setiausaha agung Muafakat Nasional itu berkata sudah terlalu lama politik negara berlegar sekitar 2-3 personaliti, dan bersifat mempertahan atau menentang individu.
“Cukup-cukuplah,” kata Annuar di Facebook, tanpa menamakan mana-mana personaliti.
“Kita semarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional, dan kepentingan rakyat.”
Mengatakan “penyatuan ummah” tidak harus terbatas kepada 3 parti Melayu-Bumiputera iaitu Umno, PAS, dan PPBM, Annuar membayangkan gabungan melibatkan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad, dan Muda yang diasaskan penyokong Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta beberapa parti kecil lain.
“Semoga ia merupakan satu persiapan dan kesiapsiagaan untuk negara muncul perkasa pasca-Covid-19,” katanya.
Annuar menulis sedemikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung pemeteraian kerjasama rasmi antara Umno, PAS, dan PPBM tidak lama lagi.
Katanya, ketiga-tiga parti itu akan membincangkan kerjasama itu pada 18 Nov ini.