Pendigitalan pacu pemulihan ekonomi Asean pasca Covid-19

Pendigitalan pacu pemulihan ekonomi Asean pasca Covid-19

Sidang Kemuncak Asean ke-37 dan mesyuarat berkaitan diadakan secara maya dari 9 hingga 15 Nov dengan menghimpunkan pemimpin tertinggi negara anggota.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, pendigitalan merupakan salah satu strategi pemulihan ekonomi Asean. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AEC) ke-19, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Asean ke-37 akan memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pemulihan ekonomi pasca pandemik di rantau ini melalui pendigitalan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, melalui Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASsean (ACRF) dan pelan pelaksanaannya, Asean menggariskan beberapa strategi utama, antaranya ialah “memacu transformasi digital inklusif” untuk menangani impak teruk pandemik Covid-19.

Strategi itu menumpukan kepada usaha mempercepat transformasi digital di rantau ini dengan memanfaatkan momentum dan kepentingan transformasi digital serta merebut peluang daripada teknologi digital untuk meningkatkan ekonomi dan masyarakat pasca Covid-19.

“Ini termasuk pendigitalan dokumen dan proses perdagangan untuk rantaian bekalan yang lancar dan tidak terganggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin juga berkata, pemulihan ekonomi pasca pandemik di rantau ini menjadi agenda utama dan dibincangkan dengan meluas di peringkat pemimpin Asean dan menteri ekonominya.

“Perbincangan membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan langkah bukan tarif bagi barangan Perlu pada 10 Nov, 2020,” katanya.

MoU itu melibatkan 152 barangan keperluan yang dikenal pasti bagi kategori makanan, ubat-ubatan serta peralatan dan peranti perubatan.

Ia bertujuan memudahkan pergerakan barangan keperluan untuk memastikan rantaian bekalan yang lancar di rantau ini.

Azmin mewakili Malaysia dalam menandatangani MoU itu yang melambangkan kemajuan Pelan Tindakan Hanoi dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi Asean dan kesalinghubungan rantaian bekalan sebagai respons terhadap pandemik Covid-19.

“MoU ini turut mencerminkan keazaman Asean untuk mengekalkan perpaduan, selain meningkatkan usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi daripada impak Covid-19,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-37 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan diadakan secara maya dari 9 November hingga 15 November dengan menghimpunkan kepimpinan tertinggi negara anggota.

Sebanyak 10 negara anggota Asean dan 5 rakan Asean-FTA lain, iaitu China, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand hari ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berikutan rundingan selama 8 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.