27 penduduk Medan 88 serah diri untuk disaring, kata polis

27 penduduk Medan 88 serah diri untuk disaring, kata polis

Polis berkata, 13 orang menyerah diri Khamis lalu, 11 keesokannya dan 3 lagi semalam.

Kira-kira 400 penduduk Medan 88 dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat duri untuk pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 12 hingga 25 Nov ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seramai 27 penduduk Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, 13 orang menyerah diri Khamis lalu dan 11 lagi keesokannya.

“Semalam, 3 orang lagi yang merupakan rakyat tempatan berasal dari Sabah, pulang untuk menjalani saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, 6 warga Indonesia, 3 Thailand, masing-masing seorang dari Myanmar, India dan Nepal serta selebihnya rakyat tempatan sudah pulang ke Medan 88.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata, sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 324 penduduk Medan 88 sudah menjalani ujian calitan dan 4 daripadanya didapati positif Covid-19.

Khamis lalu, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke rumah selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat duri untuk pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 12 hingga 25 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.