Pengusaha pusat hiburan malam rayu dibenar operasi demi pekerja

Pengusaha pusat hiburan malam rayu dibenar operasi demi pekerja

Mereka berkata, ribuan pekerja kelab malam dan pub dipinggirkan berikutan penutupan hampir 8 bulan.

Sejak PKP, ribuan orang hilang pekerjaan kerana pusat hiburan dan kelab belum mendapat lampu hijau kerajaan untuk beroperasi semula.
PETALING JAYA:
Pengusaha bar dan kelab malam mengadu mereka, dan terutamanya pekerja mereka, dipinggirkan secara tidak adil daripada usaha kerajaan membantu individu berdepan impak ekonomi akibat Covid-19.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan Mac lalu, ribuan orang tiada pekerjaan kerana kelab dan premis muzik belum mendapat lampu hijau kerajaan untuk beroperasi semula.

Amrittal Singh, pengurus besar venue muzik secara langsung Le Noir dan veteran dalam perniagaan bar selama 20 tahun, memberitahu FMT industri itu terdiri daripada pekerja B40 seperti pelayan dan pelayan bar.

“Sepanjang hidup mereka bekerja dalam industri ini dan sekarang mereka terpaksa buat kerja lain seperti memandu untuk Grab atau menjadi penghantar barang untuk meneruskan hidup.

“Malah, beberapa ahli kumpulan penyanyi kami, yang kebanyakannya daripada B40, kini menjual makanan di tepi jalan, walaupun mereka sudah lama menjadi pemuzik sepanjang hidup mereka.”

Benny Bedi, pengerusi jawatankuasa penaja Persatuan Pub, Kelab Malam dan Bar Lembah Klang, berkata beliau sudah menghantar satu set cadangan SOP kepada kerajaan, tetapi belum mendapat sebarang maklum balas.

Cadangan itu merangkumi kapasiti pelanggan dikurangkan separuh dan penyusunan semula tempat duduk untuk penjarakan fizikal.

“Kami tidak akan dapat keuntungan dengan separuh kapasiti, tetapi sekurang-kurangnya itu akan membolehkan kami terus bertahan dan kami rasa itu lebih baik daripada tiada apa-apa langsung.”

Katanya, sekurang-kurangnya 20,000 pekerja pusat hiburan malam di Lembah Klang hilang pekerjaan dan ini akan memberi kesan buruk kepada pekerja dalam industri seperti pelancongan, dengan pengunjung berpotensi ke tempat lain, jika pusat hiburan malam tempatan semakin lenyap.

Amrittal bersetuju dan berkata, premisnya sedia mematuhi sebarang SOP yang akan ditetapkan kerajaan supaya beliau dan pekerjanya boleh terus bertahan.

Bagaimanapun, Godwin Pereira, yang memiliki kelab malam Kyo di Hotel Mandarin Oriental, tidak dapat membayangkan pembukaan semula premisnya dalam situasi semasa, walaupun dengan SOP.

“Apabila anda memasuki sebuah bilik, anda mahu tenaga itu meletus. Dan itu hanya datang daripada bilik yang padat. Anda tak dapat merasainya apabila tempat itu kosong.

“Pandemik mempengaruhi kawasan berkepadatan tinggi. Saya tidak rasa saya boleh membahayakan kakitangan atau premis saya.”

Beliau percaya banyak bar dan kelab akhirnya perlu ditutup, tetapi beliau yakin ada banyak pekerjaan akan diwujudkan selepas pusat hiburan malam beroperasi semula.

“Orang selalu mencari pekerjaan. Jadi, saya percaya apabila keadaan lebih baik, orang akan mencari apa saja peluang untuk mendapatkan wang. Ini adalah naluri untuk terus hidup.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.