1 lagi direman 7 hari dalam kes pencemaran bau di Sungai Selangor

1 lagi direman 7 hari dalam kes pencemaran bau di Sungai Selangor

Ia menyusul 4 individu yang direman 7 hari pada Rabu lalu untuk membantu siasatan kes sama.

Pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dikesan pada 10 Nov lalu dan menyebabkan 4 loji rawatan air ditutup kira-kira 12.45 tengah hari Selasa lalu. (Gambar Facebook LUAS)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki direman 7 hari hingga 19 Nov ini berhubung pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan air membabitkan lebih sejuta akaun pengguna di Lembah Klang Selasa lalu.

Perintah reman ke atas suspek berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Hafizah Rajuni di Mahkamah Majistret Selayang di sini, selepas membenarkan permohonan polis.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding reman itu bermula 9 pagi dan selesai 20 minit kemudian. Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 8.30 pagi selepas ditahan semalam.

Pada 11 Nov lalu, 4 individu termasuk 2 pengarah syarikat pembinaan jalan raya berusia 33 hingga 43 tahun direman 7 hari hingga 17 Nov ini bagi membantu siasatan kes sama di bawah seksyen sama.

Mahkamah sama mengeluarkan perintah reman itu ke atas seorang wanita berusia 40 tahun dan lelaki berusia 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu, serta 2 lagi lelaki dengan seorang daripadanya ialah warga Bangladesh.

Operasi loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihentikan tengah hari 10 Nov lalu yang menjejaskan 1,139,008 akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.