
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara hari ini dan pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan, iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.
“Pertuduhan akan dibuat pada 13 Nov jam 10 pagi di mahkamah Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Wong ditahan 7 November lalu kerana merakam serbuan polis di kediaman presiden persatuan itu, Robin Yap Wen Qing.
Beliau bagaimanapun dibebaskan keesokan hari.
Yap dan naib presiden Umany, Tan Li Yuan, disiasat atas dakwaan menghasut dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian susulan kenyataan Umany mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.
Persatuan pelajar itu menyiarkan artikel bertajuk “Yang Di-Pertuan Agong tidak harus masuk campur urusan negara,” di Facebook minggu lalu.
Bagaimanapun, hari ini, persatuan itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan kontroversi itu yang menyebabkan beberapa pemimpinnya disiasat polis.