Johor tunda Sukma ke-20 ke 2022

Johor tunda Sukma ke-20 ke 2022

Acara dwi-tahunan melibatkan daerah Johor Bahru, Muar, dan Kota Tinggi itu sepatutnya diadakan pada April tahun depan.

Sebanyak 11,000 atlet dijangka bertanding dalam 30 acara sukan di 38 lokasi pada Sukma ke-20 di Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sukan Malaysia ke-20 yang sepatutnya dianjurkan kerajaan Johor pada April tahun depan akan ditunda ke 2022, ekoran peningkatan kes Covid-19 yang menyaksikan langkah sama di seluruh dunia.

Keputusan menunda tarikh acara dwi-tahunan tersebut dibuat dalam mesyuarat Exco Belia dan Sukan Johor, Onn Hafiz Ghazi, bersama Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, dan Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia semalam.

Mesyuarat sama juga meminda penganjuran temasya PARA Sukma ke-20 yang sepatutnya berlangsung pada Mac tahun depan.

“Selaku penganjur, pihak kami meletakkan keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan para atlet, pegawai dan petugas sukarelawan serta kos penganjuran yang berkemungkinan akan meningkat dari segi pengendalian SOP kesihatan dan keselamatan,” kata Onn pada sidang media di Kota Iskandar hari ini.

Katanya lagi, Johor tidak mahu tergesa-gesa menganjurkan Sukma memandangkan semua negeri kecuali Pahang, Kelantan, Perlis, dan Sarawak masih bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat.

Kalendar sukan 2021 yang dijangka padat turut dipertimbangkan bagi mengelak kontinjen bertanding dibebani jadual latihan yang padat.

Begitu juga pindaan tarikh peperiksaan seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang dianjak ke 8 Mac tahun depan, dan akan melibatkan 171 atlet.

Sukma 2020 sepatutnya berlangsung pada 2-10 April 2021 dan melibatkan 3 daerah iaitu Johor Bahru, Muar, dan Kota Tinggi dengan sejumlah 31 jenis sukan dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.