
APEC 2020 menjadi penanda aras bagi New Zealand yang mengemukakan pelan untuk menganjurkan persidangan itu secara maya tahun depan.
Penganjuran persidangan itu ketika negara memerangi Covid-19 bukan perkara mudah tetapi ia dapat direalisasikan Sekretariat Kebangsaan APEC 2020.
Sekretariat itu dikendalikan pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang bekerjasama rapat dengan wakil pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Miti mengikuti rapat perkembangan Covid-19 sejak Januari, sebelum negara dikenakan perintah kawalan, malah menyediakan video mengenai penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan apabila perwakilan mengunjungi negara.
Perwakilan luar negara diberikan borang pengisytiharan kesihatan semasa ketibaan dan pihak hotel pula dimaklumkan untuk menyaring tetamu, memberi pelitup muka dan pensanitasi tangan.
Pada Februari, perwakilan yang tidak dapat melakukan perjalanan dapat menghadiri persidangan APEC secara maya.
Seterusnya, Miti mencadangkan persidangan APEC 2020 dianjurkan secara maya dan Putrajaya membenarkannya, dengan Celcom Axiata Bhd memainkan peranan penting dalam memastikan persidangan digital berjalan lancar.
Ketua Bahagian Komunikasi Miti Zuhaila Akmar Mohd Sedek menyifatkan pengalaman itu “sangat mencabar tetapi bermanfaat”.
“Walaupun dalam situasi ini, ia memberi peluang kepada kami menunjukkan kebolehan kami. Walaupun ada kelebihan dan kesusahan, tetapi kami menjalankan tugas dengan baik sekali dan menetapkan idea perlindungan terhadap ekonomi mesti menjadi keutamaan selain memastikan kesejahteraan rakyat.
“Ia adalah mesej utama semasa persidangan APEC dan terdapat keperluan untuk meneruskan perbincangan ini pada peringkat rantau,” kata Zuhaila.
Cabaran itu termasuk membahagikan pelbagai mesyuarat kepada 2 slot masa, 1 pada sebelah pagi dan 1 pada malam supaya memenuhi keperluan perwakilan dari 8 zon masa berbeza.
Penolong Pengarah Kanan Prinsipal Miti (Sekretariat Perdagangan Strategik) Mega Marissa Abdul Malek berkata, kejayaan sidang kemuncak itu bergantung kepada usaha memastikan maklumat paling kecil adalah tepat.
“Pasukan kami tidak asing untuk menganjurkan acara tetapi dengan persidangan maya yang sebesar ini, ia bergantung kepada perancangan dan ia meliputi semua aspek,” kata Marissa.
“Malah kami juga menyediakan ‘storyboard’ untuk memastikan tetamu mempunyai peluang untuk berucap.”
Miti berkata, mereka sedia untuk berkongsi pengalaman dengan New Zealand untuk memastikan persidangan APEC secara maya tahun depan berjalan lancar.
Pada 20 November, Malaysia bersedia dan mengalu-alukan 21 pemimpin bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi APEC pertama kali diadakan secara maya yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Malaysia, anggota pengasas APEC yang ditubuhkan pada 1989, menjadi tuan rumah forum serantau itu buat kali ke-2 selepas kali pertama pada 1998.
Tema persidangan itu tahun ini adalah “Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama”.