Lebih 1 juta isi rumah di Lembah Klang putus bekalan air

Lebih 1 juta isi rumah di Lembah Klang putus bekalan air

Air Selangor mengambil tindakan demikian selepas penutupan 4 loji rawatan air akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.

Gangguan air terbaru di Lembah Kelang di sebabkan pencemaran bau Sungai Selangor.
PETALING JAYA:
Sejumlah 1,139,008 isi rumah di Lembah Klang akan terputus bekalan air mulai 6 petang ini susulan penutupan 4 loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan LRA Sungai Selangor dan Rantau Panjang, menyebabkan 1,279 kawasan terjejas di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Air Selangor ingin memaklumkan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.45 tengah hari tadi.

“Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun yang mana bekalan air akan ditutup pada 6 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Air Selangor berkata proses pencairan dan “flushing” bahan pencemaran sudah dilakukan untuk mengurangkan tahap pencemaran sungai.

Katanya, setakat 2.30 petang tadi, LRA Sungai Selangor dan Rantau Panjang masing-masing mencatatkan bacaan 4 TON (ukuran kadar bau) dan 8 TON.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter,
Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya.

Senarai penuh 1,279 kawasan terjejas bekalan air akibat pencemaran bau Sungai Selangor boleh didapati di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.