DUN Sarawak tunda RUU turun umur mengundi, tafsiran ‘penduduk negeri’ susulan bantahan

DUN Sarawak tunda RUU turun umur mengundi, tafsiran ‘penduduk negeri’ susulan bantahan

Ia adalah kerana terdapat anomali dalam penggubalan RUU berkenaan dan anomali berkenaan berkaitan tafsiran Perlembagaan Sarawak.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata rakyat di Malaysia Barat dan Sabah yang berstatus pemastautin tetap selama 2 tahun akan layak dipilih ke DUN jika pindaan itu diluluskan. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini menunda rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Sarawak berkaitan menurunkan usia minimum kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.

Ketika membuat keputusan itu, Yang di-Pertua DUN Amar Mohd Asfia Awang Nasar berkata terdapat anomali dalam penggubalan RUU tersebut dan anomali berkenaan berkaitan tafsiran.

“RUU ini merujuk Seksyen 71 Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 71 itu seterusnya merujuk kepada Seksyen 66 (akta sama). Berikutan anomali-anomali ini dan pencerahan yang perlu dibuat, saya menunda RUU ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya pada akhir perbahasan RUU itu di sini.

Seksyen 71 ialah mengenai individu berasal dari negeri Malaysia Timur sementara Seksyen 66 menyentuh larangan terhadap hak rakyat untuk memasuki negeri Malaysia Timur.

Terdahulu semasa membentangkan RUU itu, Menteri Belia dan Sukan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata RUU tersebut bertujuan meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dengan yang pertama menurunkan had umur layak menjadi ahli DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan ke-2, mentafsirkan serta menjelaskan perkataan “penduduk negeri”

“Pindaan ini amat penting bagi menjamin peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkataan ‘penduduk negeri’ itu perlu ditafsir dan diperjelas memandangkan peruntukan sedia ada tidak jelas akan maknanya,” kata beliau.

Lima ahli DUN membahaskan RUU itu dengan pembangkang yang diwakili Chong Chieng Jen (PH-Kota Sentosa) dan Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) membantah bahagian ke-2 pindaan.

Chong berkata rakyat di Malaysia Barat dan Sabah yang berstatus pemastautin tetap selama 2 tahun akan layak dipilih ke DUN jika pindaan itu diluluskan.

Wong pula berkata pindaan terhadap Perlembagaan Sarawak sepatutnya memastikan hak dipilih ke DUN hanya milik rakyat Malaysia yang lahir di Sarawak.

Penyokong kerajaan Idris Buang (GPS-Muara Tuang) berkata pindaan perlu mengambil kira keperluan melindungi Sarawak daripada politik tidak beretika dan tidak berbudaya dari luar Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.