
Beliau berkata, angka itu hanya meliputi warganegara dan tidak termasuk warga asing.
Katanya, kes TB berdaftar yang tertinggi berada di daerah Petaling (949), diikuti Hulu Langat (799), Klang (599), Gombak (583), Kuala Langat (181), Hulu Selangor (152), Kuala Selangor (135), Sepang (129) dan Sabak Bernam (58).
“Kementerian Kesihatan (melakukan) pengesanan kes secara aktif dan saringan pemeriksaan kontak dipergiatkan apabila terdapat kes positif (di sesebuah kawasan).
“Kerajaan negeri Selangor telah menyediakan insentif RM800 untuk setiap penyakit yang disahkan menghidapi TB…untuk membantu menampung kos perjalanan pesakit TB berulang alik ke hospital atau klinik untuk mendapat rawatan.
“Pengamal perubatan (berkata) kebanyakan (pesakit TB) tidak menghabiskan rawatan (selama 6 bulan) kerana ketidakmampuan mereka untuk berulang alik ke pusat kesihatan,” katanya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.
Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) dalam soalan lain ingin tahu bagaimana kerajaan negeri akan menangani kes TB dalam kalangan bukan warganegara.
Katanya, jika tidak dirawat, “kami bimbang ia akan merebak kepada kami”.
Siti Mariah berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula dasar subsidi RM800 dengan Jabatan Kesihatan Negeri kerana pembayaran hanya untuk warganegara.
“Mereka terpaksa menanggung kos yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan. Sekiranya mereka (tampil) dan disahkan menghidapi penyakit TB, kerajaan negeri tidak keberatan untuk membantu mereka mendapat rawatan.
“Setakat ini, kita mempunyai klinik yang diuruskan NGO tertentu dan sekiranya mereka merujuk pendatang asing yang mempunyai penyakit TB, kita akan memikirkan apa (langkah) patut dilakukan untuk membendung penyakit TB dalam kalangan mereka.”