
Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, RM100 juta diperuntukkan di bawah inisiatif Penjana untuk membantu graduan itu mendapatkan pekerjaan.
Bercakap dalam sesi soal jawab, beliau berkata, kementeriannya akan meneliti padanan pekerjaan dan penempatan, keusahawanan, serta pekerjaan dalam sektor ekonomi gig.
Noraini menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai jumlah graduan dari universiti awam, swasta dan kolej komuniti tahun ini.
Wong juga mahu mengetahui langkah yang diambil kementerian itu dalam memastikan graduan mendapat pekerjaan.
Noraini berkata, kursus kemahiran jangka pendek juga ditawarkan di kolej komuniti, sementara Tabung Pembangunan Sumber Manusia menawarkan kursus selama satu hingga 3 bulan bagi membantu mempersiapkan graduan untuk pasaran pekerjaan.
Katanya, lebih 122,000 graduan sudah mendaftar program padanan pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan 31,942 daripadanya sudah ditawarkan pekerjaan.
Beliau berkata, kementeriannya turut berhubung dengan peneraju industri untuk mencari jalan meningkatkan peluang graduan baru diambil bekerja.
Menurut satu kajian kementerian itu, hampir 60% graduan masih menganggur setahun selepas tamat pengajian kerana terdapat jurang antara apa yang diajar di universiti dan kolej serta keperluan industri atau pasaran pekerjaan.