Presiden Umany dakwa polis lakukan ugutan, sewaktu lebih ramai ahli dipanggil untuk siasatan

Presiden Umany dakwa polis lakukan ugutan, sewaktu lebih ramai ahli dipanggil untuk siasatan

Presiden Umany Yap Yap Wen Qing berkata, 3 anggota polis berpakaian preman yang datang untuk menggeledah rumahnya pada Sabtu ‘dilengkapi dengan senjata api’.

Enam ahli jawatankuasa Umany yang dipanggil untuk disoal-siasat (dari kiri) Chia Jia Xuan (setiausaha), Low Wei Che, Liau Pin Chun, Tan Wen Kang, Chua Wen Jie (setiausaha organisasi) dan Wah (bendahari).
KAJANG:
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mendakwa polis menggunakan kekerasan berlebihan, mengugut dan menyalahgunakan kuasa selepas 6 ahli jawatankuasa persatuan itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kajang untuk disoal-siasat.

Tindakan terbaru polis ini diambil selepas 2 hari pasukan itu cuba menggeledah rumah presiden Umany Yap Wen Qing, yang membawa kepada penahanan bekas pemimpin persatuan itu Wong Yan Ke, selepas beliau merakam insiden itu di telefon bimbitnya.

Bercakap kepada media di luar ibu pejabat polis di sini, Yap berkata, walaupun selepas memberitahunya bahawa hanya ahli jawatankuasa pusat Umany akan dipanggil, polis sebaliknya menghubungi pemimpin dan bekas pemimpin persatuan supaya melaporkan diri ke balai.

“Polis berbuat demikian walaupun mereka tahu betapa sukarnya bagi pelajar untuk datang ke sini (Kajang) semasa pelaksanaan PKPB,” katanya.

Yap disertai 6 ahli jawatankuasa Umany yang dijadualkan memberi kenyataan kepada polis selepas sidang media.

Menjelaskan berhubung dakwaan bahawa polis menggunakan kekerasan berlebihan Yap berkata, 3 anggota polis berpakaian preman yang datang untuk menggeledah rumahnya pada Sabtu “dilengkapi dengan senjata api”.

Katanya, berdasarkan prinsip perimbangan, polis sepatutnya menggunakan kekerasan seimbang dalam penyiasatan mereka dan berusaha untuk meminimumkan kemungkinan bahaya ke atas rakyat.

Beliau menggesa orang ramai supaya membantah tindakan polis dan menyokong mereka yang “dinafikan” hak oleh pasukan itu.

Laporan sebelum ini menyebut Yap dan naib presiden Umany Tan Li Yuan disiasat kerana menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis memulakan siasatan selepas persatuan pelajar itu menerbitkan kenyataan bertajuk “Yang di-Pertuan Agong should not intervene in national affairs” di Facebook.

Dalam pada itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengutuk tindakan polis dengan berkata ia merupakan pelanggaran terhadap hak kebebasan bersuara dan berucap pelajar terbabit.

“Kami kecewa bahawa kerajaan secara sewenang-wenang terus menggunakan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat pandangan tidak konvensional,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.