
Beliau turut mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan berkembang 6.5% hingga 7.5% tahun depan, sejajar jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia kira-kira 6 hingga 8%.
“Insya Allah kalau dapat vaksin dan ekonomi global bertambah baik, Malaysia tahun depan akan pulih semula.
“Unjuran kita berdasarkan laporan semasa itu, 2021 dijangka mencatatkan pemulihan. Namun, apa yang penting sebenarnya adalah bagaimana rakyat dapat mematuhi SOP Covid-19 ketika ini.
“Semua pihak harus mengambil maklum kepentingan SOP supaya ekonomi dan rakyat tidak terlalu terkesan dengan wabak ini,” katanya dalam wawancara khas di TV3 malam tadi.
Beliau berkata, perhatian juga perlu diberikan dari segi pelaksanaan supaya bantuan dalam Belanjawan 2021 sampai kepada golongan sasaran.
“Setiap pihak yang terbabit perlu memantau penyampaian setiap perbelanjaan dalam Belanjawan (2021). Tanpa pelaksanaan tepat, kita tidak akan dapat hasil yang kita mahukan.”
Katanya, kerajaan juga bersedia menambah baik dan mengubah suai Belanjawan 2021, seperti yang dilakukan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu berjumlah RM322.5 bilion, iaitu RM25.5 bilion lebih banyak daripada Belanjawan 2020 yang berjumlah RM297 bilion.