BAM perlu lebih RM55 juta setahun, kata Tengku Zafrul

BAM perlu lebih RM55 juta setahun, kata Tengku Zafrul

Presiden BAM berkata ia merangkumi pemberian imbuhan kepada pemain dan jurulatih, perbelanjaan menyertai kejohanan dan penganjuran pertandingan dalam negara.

TENGKU ZAFRUL AZIZ
Presiden BAM Tengku Zafrul Aziz berkata badan induk itu membelanjakan RM54 juta setakat November lalu.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memerlukan lebih RM55 juta setahun bagi menampung kos operasi sebagai badan induk sukan berkenaan, kata Presidennya, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi pemberian imbuhan kepada pemain dan jurulatih, perbelanjaan menyertai kejohanan dan penganjuran pertandingan dalam negara.

“Setakat ini, kita masih okay. Untuk menampung operasi, kami memerlukan kira-kira RM55 juta setahun dan pada masa akan datang, ia dijangka lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM di sini.

Mengenai perbelanjaan tahun lalu, beliau berkata, BAM membelanjakan RM54 juta setakat November lalu.

“Dua perbelanjaan terbesar ialah imbuhan pemain dan jurulatih serta perbelanjaan menyertai kejohanan melibatkan lebih separuh kos, selain penganjuran kejohanan.”

Beliau pada masa sama menyedari hakikat BAM perlu memperkasakan jenama mereka dalam usaha menarik lebih banyak penajaan pada masa depan.

Sementara itu, katanya, mesyuarat hari ini turut membincangkan sokongan kepada barisan pemain junior, termasuk kenaikan elaun dan pemberian elaun tali raket bernilai RM400,000 secara keseluruhan.

“Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh menunjukkan kepada saya, elaun pemain sekitar RM400 hingga RM600.

“Itulah yang mereka terima dan itu mungkin tidak mencukupi, jadi kami akan meningkatkannya sehingga RM1,000 sebulan bagi semua pemain yang ada sekarang.”

Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan semakan semula kadar gaji jurulatih tempatan.

Mengenai prestasi pemain Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil ketika ini, beliau mengakui kecewa kerana beberapa pemain diharapkan mampu mara lebih jauh tidak berjaya melakukannya.

“Aspek penganjuran, ia dilakukan dengan sangat baik. Maksud saya, jika dilihat dari segi kehadiran penonton, semuanya lancar dan tidak banyak rungutan.

“Dari segi prestasi pemain pula, sudah tentu kami berharap lebih ramai pemain dapat mara lebih jauh, terutama separuh akhir dan akhir, tetapi kita masih mempunyai sepasang beregu lelaki (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) yang masih meneruskan aksi.”

Aaron-Wooi Yik yang merupakan wakil tunggal negara pada separuh akhir Terbuka Malaysia 2026 dijadualkan merebut slot akhir menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.

Terbuka Malaysia 2026 yang bermula Selasa lalu berakhir esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.