
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Komander (B) Mohamed Sabri Baharom, 56, juruterbang pesawat ringan berkenaan dan penumpang Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, seramai 20 saksi lain juga dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil rakaman percakapan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini juga diseru untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, bagi membantu siasatan atau untuk menyalurkan maklumat. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses bedah siasat ke atas Mohamed Sabri dan Mohd Irfan Fikri dilakukan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTMUKM) hari ini dan masing-masing selesai pada pukul 11.15 pagi serta pukul 1.15 tengah hari tadi.
Katanya, kedua-dua jenazah diserahkan kepada waris masing-masing untuk urusan pengkebumian.
“Keputusan penuh hasil bedah siasat akan dikemukakan, setelah mendapat laporan penuh makmal,” katanya.
Dalam pada itu, Farouk juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengedarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan di media sosial bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta mengganggu siasatan.
Dalam insiden menjelang tengah hari semalam, 2 lelaki maut, manakala 2 lagi, termasuk seorang wanita selamat dalam nahas melibatkan 2 helikopter, yang dipercayai berlanggar di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas di kawasan semak di Jalan Taman Melawati.
Dilaporkan bahawa helikopter berwarna biru yang terhempas diterbangkan oleh Mohamed Sabri Baharom, manakala sebuah lagi diterbangkan Ahmad Jauhari Yahya, bekas ketua pegawai eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Berhad, yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad.
Mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Jauhari, 66, dan Tan Chai Eian, 51, dalam sebuah helikopter lain yang membuat pendaratan cemas di sebuah padang sekolah berdekatan, hanya mengalami kecederaan ringan.